SEBUAH ambulans yang penuh dengan bahan letupan meletup di tengah-tengah kawasan sesak di Kabul, menyebabkan sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dan mencederakan 158 yang lain, kata pihak berkuasa yang menyfatkan ia sebagai serangan terburuk di ibu negara itu sejak beberapa tahun lalu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa “tindakan tegas” terhadap Taliban selepas kumpulan militan itu mendakwa bertanggungjawab atas serangan berkenaan yang merupakan serangan kedua selepas satu lagi serangan di ibu negara Afghanistan itu minggu lalu.
Serangan terbabit menyebabkan kekecohan berikutan mereka yang terselamat bertempiaran lari daripada kawasan kejadian yang dipenuhi cebisan anggota badan manusia, darah dan serpihan runtuhan dan hospital dipenuhi oleh mangsa yang cedera.
Serangan itu berlaku selepas pemberontak dan kumpulan IS meningkatkan serangan mereka ke atas Kabul, salah sebuah kawasan yang paling bahaya kepada orang awam di Afghanistan.
Wartawan AFP menyaksikan banyak orang awam yang mati dan cedera di hospital Jamuriate, yang terletak beberapa meter daripada kawasan letupan dan kakitangan perubatan bertungkus lumus merawat mangsa terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terbaring di lantai koridor hospital.
Jurucakap kementerian kesihatan Waheed Majroh memberitahu AFP, jumlah mangsa kini mencatatkan 95 kematian dan 158 cedera, sebaik sahaja kementerian dalam negeri sebelum itu memberi amaran jumlah kematian 63 orang berkemugkinan akan meningkat.
Letupan berlaku di kawasan yang menempatkan organisasi berprofil tinggi, termasuk Kesatuan Eropah (EU). Ahli delegasi EU di Kabul berada dalam “bilik selamat” dan tiada kecederaan dilaporkan, kata pegawainya kepada AFP.
Kekuatan letupan berkenaan menyebabkan tingkap bangunan di kawasan lingkungan dua kilometer pecah dan beberapa struktur bangunan rendah runtuh. – AFP, 28 Januari, 2018.
Komen