AS kritik pencerobohan Israel di Tebing Barat


AS mengkritik Israel berhubung isu penempatan, dengan pentadbiran Presiden Joe Biden menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pencerobohan baharu di Tebing Barat. – Gambar AFP, 27 Oktober, 2021.

BUAT pertama kali sejak bertahun lamanya, Amerika Syarikat (AS) semalam mengkritik Israel berhubung isu penempatan, dengan pentadbiran Presiden Joe Biden menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pencerobohan baharu di Tebing Barat.

Reaksi terkini itu jelas berbeza dengan pentadbiran bekas presiden Donald Trump sebelum ini yang memberi kebenaran kepada tindakan Israel mencerobohi tanah Palestin.

Sebaliknya menerusi pentadbiran Biden, Jabatan Negara AS berulang kali memberi amaran membantah pembinaan penempatan itu, sekali gus melontarkan kritikan tajam terhadap Israel apabila rejim berkenaan meneruskan tindakan terbabit.

“Kami sangat bimbang perancangan Israel untuk menambah lagi ribuan unit penempatan, dengan pengeluaran tender bagi lebih 1,300 kediaman.

“Kami membantah sekeras-kerasnya peluasan penempatan itu yang sama sekali bertentangan dengan usaha untuk meredakan ketegangan serta memastikan keadaan tenang, malah ia merosakkan prospek bagi penyelesaian dua negara.

“Kami juga melihat rancangan untuk pengesahan retroaktif terhadap pos haram, sebagai tidak boleh diterima,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price kepada pemberita.

Bagaimanapun, Price tidak mengulas lanjut sama ada keputusan itu bakal memberi kesan kepada hubungan dengan Israel.

Bagaimanapun katanya, AS akan membangkitkan isu itu secara langsung kepada pegawai kanan Israel pada sesi peribadi mereka nanti.

Sebelum ini, Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh menggesa Washington berdepan dengan Israel berhubung isu penempatan itu yang dianggap sebagai pencerobohan.

Kira-kira 475, orang Yahudi Israel menduduki penempatan di Tebing Barat yang sudah ditetapkan sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Walaupun Biden mempunyai hubungan dengan Israel, ramai ahli parti Demokratik dilaporkan semakin membantah dasar rejim itu, terutama ketika bawah pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Benjamin Netanyahu. – AFP, 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen