Adakah bantuan OKU hanya janji kosong Muhyiddin, kata Teo


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mempersoalkan sama ada jaminan peningkatan bantuan OKU yang dibuat oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini adalah janji kosong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2021.

AHLI Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini membidas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff berkenaan janji bekas pentadbiran terdahulu untuk meningkatkan bantuan kebajikan sosial OKU kepada RM1,000.

Teo mempersoalkan sama ada jaminan peningkatan bantuan yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu adalah janji kosong.

Teo bertanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini mengenai bila kerajaan akan meningkatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk OKU selaras dengan janji Muhyiddin tahun lepas untuk meningkatkan kuantum daripada RM200 kepada RM300 kepada RM1,000. 

Memperincikan bantuan yang disalurkan, Siti Zailah (Rantau Panjang-PAS) berkata bantuan untuk kanak-kanak dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 dan bagi keluarga, kuantumnya boleh menceah sehingga RM1,000.

Bantan penjaga OKU dan pesakit terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada maksimum RM500 manakala elaun OKU yang tidak dapat bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Bagi bantuan OKU yang bekerja pula, kuantum dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

“Sudah hampir 11 bulan sejak 3 Disember (tahun lepas) sehingga hari ini, apakah usaha yang diambil oleh kementerian dan timbalan menteri bagi memastikan cadangan meningkatkan kuantum kepada RM1,000 dilaksanakan?,” soal Teo sambil merujuk kepada catatan Facebook Muhyiddin mengenai isu berkenaan.

“Atau adakah timbalan menteri cuba mengatakan janji yang dibuat oleh bekas perdana menteri ketika itu adalah janji kosong?

“Perlukah kita meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meminda takrifan ‘segera’,” katanya merujuk kepada perkataan yang digunakan oleh Muhyiddin.

“(Nampaknya) segera bukan tiga minit dari sekarang tetapi setahun dari sekarang,” tambahnya.

Menjawab perkara itu Siti Zailah berkata bantuan itu diberikan berdasarkan keperluan isi rumah berbanding individu dan keluarga tertentu menerima lebih RM1,000.

Tambahnya cadangan itu juga perlu mendapat lampu hijau daripada Kementerian Kewangan.

“Kita cuba mengemukakan cadangan ini kepada Kementerian Kewangan. Seperti yang kita sedia maklum, ia bergantung kepada kelulusan dan kewangan negara.

“Sebagai contoh, jika kita menaikkannya kepada RM1,000 itu akan menyebabkan kos yang lebih tinggi kepada kerajaan,” tambah ahli Parlimen PAS berkenaan.

Teo menegaskan janji yang dibuat adalah tidak realistik dan kosong yang menyebabkan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PAS) mencelah berkata “janji bukan kitab suci”.

Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN) bertanya sama ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdepan masalah tenaga kerja kerana terdapat aduan mengenai kelewatan saluran bantuan semasa wabak.

“Kadang-kadang kita menziarahi orang sakit dan tiga bulan kemudian mereka meninggal dunia.

“Kami diberitahu pegawai kebajikan masih belum menguruskan bantuan. Adakah kelewatan ini disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja atau ada faktor lain,” soalnya dalam soalan tambahan.

Siti Zailah memberi maklum balas kementerian sudah membuka saluran aduan dalam talian kerana wabak itu menyekat mobilisasi pegawai di lapangan.

“Kita sudah memastikan mereka layak menerima bantuan. Jika ada sesiapa yang tercicir, mereka boleh menghubungi kita dan tindakan segera akan diambil,” katanya. – 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen