11 terkorban, perkampungan di Iraq diserang


SEKURANG-KURANGNYA 11 maut dalam serangan di sebuah perkampungan di timur Iraq yang didakwa dilakukan kumpulan IS, semalam.

Menurut sumber keselamatan, kejadian di Al-Rashad dalam wilayah Diyala itu turut menyebabkan 13 tercedera.

Susulan itu katanya, kawasan berkenaan ditutup dan pihak berkuasa melancarkan gerakan memburu penyerang.

Sumber lain memaklumkan mangsa terkorban meliputi orang awam, akibat ditembak dalam insiden di perkampungan berkenaan yang dihuni ramai anggota perkhidmatan keselamatan.

Kedua-dua sumber itu berkata kebanyakan penduduk kampung terbabit adalah daripada suku kaum Bani Tamim, sama dengan Gabenor wilayah Diyala.

Kumpulan IS dilaporkan menguasai sebahagian besar Iraq dan Syria pada 2014, namun pemimpinnya kemudian ditewaskan hasil usaha pembanterasan yang berterusan.

Pada 2017, Iraq mengumumkan kumpulan terbabit berjaya ditumpaskan, demikian juga di Syria dua tahun kemudian.

Bagaimanapun, ancaman kumpulan itu masih wujud dan didakwa terus melakukan serangan dari semasa ke semasa.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan awal tahun ini, menganggarkan kira-kira 10,000 pejuang IS kekal aktif di seluruh Iraq dan Syria.

Pada awal bulan lalu, seramai 13 anggota polis persekutuan Iraq terbunuh dalam serangan didakwa dilakukan IS di pusat pemeriksaan berdekatan bandar Kirkuk.

Julai lalu, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab atas serangan di sebuah pasar dalam daerah pengikut Syiah di Baghdad, Sadr City, yang menyebabkan kira-kira 30 terbunuh.

Awal bulan ini, pihak berkuasa mengumumkan dua tangkapan penting di luar Iraq, membabitkan perancang serangan didakwa dilakukan IS yang meragut 320 nyawa di Baghdad pada 2016, serta ketua kewangan IS yang disyaki, Sami Jasim al-Jaburi. – AFP, 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen