Tentera bebaskan PM Sudan, rakyat protes di jalanan


Rakyat yang berang berkumpul di jalanan sambil melaungkan bantahan terhadap pemerintahan tentera. Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan di Burri. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Sudan Abdalla Hamdok yang ditahan dalam rampasan kuasa tentera dibawa pulang ke rumahnya, lewat malam tadi.

Pejabatnya ketika memaklumkan perkara itu berkata Hamdok diletakkan di bawah pengawasan rapi, manakala menteri serta pemimpin awam lain masih ditahan selepas tentera membubarkan institusi Sudan pada Isnin lalu.

Perkembangan itu menyusul setelah pelbagai pihak antarabangsa memberi tekanan hebat, dengan Amerika Syarikat (AS) menegaskan akan menggantung penyaluran bantuan berikutan rampasan kuasa terbabit, malah Kesatuan Eropah (EU) turut mengancam untuk mengambil tindakan sama.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mendesak Hamdok dibebaskan segera, menjelang mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan yang bermula 8 malam tadi.

Seorang diplomat yang enggan dikenali berkata hasil perbincangan kuasa utama PBB boleh membawa kepada satu pernyataan bersama dikeluarkan nanti bagi mengutuk rampasan kuasa itu.

Sebelum mesyuarat itu, Timbalan Duta Russia ke PBB Dmitry Polyanskiy berkata Majlis Keselamatan patut merayu untuk menghentikan keganasan itu daripada semua pihak.

Pergolakan ketika ini berlaku selepas hanya kira-kira dua tahun perkongsian kuasa diatur antara tentera bersama pemimpin awam susulan penggulingan autokrat, Omar al-Bashir, pada April 2019.

Terdahulu, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan memberi jaminan kesihatan Hamdok berada dalam keadaan baik.

Sumber tentera yang enggan dikenali pula memaklumkan, Hamdok diiring pulang ke rumah, dengan langkah keselamatan dilakukan di sekelilingnya.

Sementara itu, rakyat yang berang berkumpul di jalanan sambil melaungkan bantahan terhadap pemerintahan tentera. – AFP, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen