Australia tarik semula larangan perjalanan antarabangsa


Australia menaik semula larangan perjalanan antarabangsa selepas hampir keseluruhan rakyat di negara itu sudah divaksin sepenuhnya. – Gambar EPA, 27 Oktober, 2021.

AUSTRALIA akan menarik semula larangan ke atas rakyat yang melancong ke luar negara tanpa kebenaran apabila kerajaan mengumumkan sempadan negara itu akan dibuka kepada pekerja mahir dan pelajar antarabangsa menjelang akhir tahun.

Lebih 18 bulan selepas Australia menutup sempadan antarabangsanya, rakyat yang sudah divaksin sepenuhnya tidak lagi perlu mendapatkan pengecualian bagi meninggalkan negara itu, menurut kenyataan bersama kementerian kesihatan dan hal ehwal dalam negeri.

Tindakan itu dibuat ketika kadar vaksinasi dua dos dewasa di negara itu sudah menghampiri sasaran 80%.

Menteri Dalam Negeri Karen Andrews berkata walaupun warga Australia kini diutamakan, lebih banyak sekatan perjalanan termasuk untuk bukan warganegara akan dilonggarkan apabila kadar vaksinasi meningkat.

“Sebelum akhir tahun ini, kami menjangkakan kedatangan pekerja mahir dan pelajar antarabangsa yang diberi vaksin sepenuhnya,” katanya.

Perdana Menteri Scott Morrison yang meramalkan perubahan awal bulan ini berkata Australa kini “sangat hampir” untuk mengumum gelembung perjalanan dengan Singapura yang mengumumkan rakyat Australia tidak lagi perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di negara berkenaan.

Penerbangan Qantas ke bandar itu dijadualkan bersambung semula pada 22 November.

Pada 20 Mac tahun lalu Australia menguatkuasakan beberapa sekatan sempadan paling ketat di dunia sebagai tindak balas terhadap pandemik koronavirus.

Selama hampir 600 hari, banyak penerbangan antarabangsa digantung, dan perjalanan ke luar negara semakin perlahan.

Walaupun Sydney sudah membatalkan larangan kuarantin untuk pengembara yang pulang, negeri Australia lain dengan kadar vaksinasi lebih rendah masih mengenakan perintan kuarantin wajib 14 hari di hotel dan kos yang tinggi. – AFP, 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen