AUSTRALIA hari ini membenarkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk mereka berusia lebih 18 tahun dengan dos ketiga dijangka ditawarkan kepada seluruh penduduk mulai bulan depan.
Pihak berkuasa kawal selia Pentadbiran Barangan Terapeutik berkata mereka sudah memberikan kelulusan sementara untuk satu dos vaksin Pfizer-BioNTech diberikan sebagai suntikan penggalak kepada orang dewasa.
“Kelulusan sementara bermakna indvidu berusia 18 tahun ke atas boleh menerima suntikan penggalak (dos ketiga) sekurang-kurangnya enam bulan selepas selesai siri utama vaksin Covid-19,” kata agensi itu.
Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata program suntikan dos penggalak untuk seluruh penduduk akan bermula selewat-lewatnya 8 November, tertakluk kepada kelulusan daripada badan penasihat imunisasi negara.
“Kita akan bermula dengan warga emas dan penduduk kurang upaya,” katanya kepada pemberita di Canberra.
Hunt berkata dos penggalak akan tersedia kepada sesiapa sahaja yang menerima dua dos sama ada vaksin Pfizer-BioNTech, Oxford/AstraZeneca atau Moderna.
Australia setakat ini memberikan dua dos vaksin kepada 74% penduduknya berusia lebih 16 tahun dengan 87% sudah menerima satu dos vaksin.
Suntikan penggalak sudah diberikan kepada mereka yang mengalami gangguan imun yang teruk pada awal Oktober.
Kerajaan berkata mereka menjangka Moderna juga akan memohon kepada pengawal selia perubatan Australia untuk kelulusan suntikan penggalak. – AFP, 27 Oktober, 2021.
Komen