Jepun bantu Afghanistan dengan dana tambahan AS$65 juta, kata menteri luar


Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi turut menyenaraikan beberapa halangan yang dihadapi Afghanistan sejak Taliban menguasai kabul pada pertengahan Ogos.– Gambar EPA, 26 Oktober, 2021.

JEPUN telah memperuntukkan pakej bantuan tambahan sejumlah AS$65 juta kepada Afghanistan dan negara-negara jiran yang terjejas akibat krisis migrasi, lapor Sputnik, memetik Menteri Luar Toshimitsu Motegi pada Selasa.

Beliau menyenaraikan beberapa halangan yang dihadapi Afghanistan sejak Taliban menguasai kabul pada pertengahan Ogos, termasuk kekurangan keperluan penting, peningkatan jumlah penduduk yang menjadi pelarian, serta kebimbangan kemasukan besar-besaran pelarian ke wilayah negara jiran.

“Berdasarkan keadaan ini dan sebagai tindak balas kepada rayuan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setakat hari ini, kerajaan Jepun telah memutuskan untuk membantu Afghanistan dan negara-negara jiran dengan menawarkan sejumlah AS$65 juta bantuan geran kecemasan melalui organisasi antarabangsa,” kata menteri itu dalam sidang akhbar.

Jumlah bantuan Jepun kepada Afghanistan akan mencecah sekitar AS$200 juta menjelang akhir tahun, tambahnya.

Taliban telah mengambil alih sepenuhnya Afghanistan pada awal September, menubuhkan kerajaan baharu yang dipimpin oleh Mohammad Hasan Akhund, bekas menteri luar semasa pemerintahan Taliban sebelum ini. Afghanistan telah berada di bawah sekatan PBB sejak 2001.

Berikutan pengambilalihan tentera, ramai rakyat Afghanistan telah berusaha meninggalkan tanah air mereka kerana takut dengan pergerakan itu. Ada yang melarikan diri dengan penerbangan pemindahan asing yang telah dihentikan pada 31 Ogos, manakala yang lain melarikan diri antaranya ke negara jiran iaitu Pakistan, Uzbekistan, Tajikistan, dan Iran. – Bernama, 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen