Najib di Invest Malaysia 2018: Antara kata dan kota


Dzulkefly Ahmad

PADA 23 Januari lalu, Perdana Menteri Najib Razak berucap di Seminar lnvest Malaysia 2018.

Najib sekali lagi memperagakan angka memberangsang tentang ekonomi termasuk pertumbuhan, pelaburan, pasaran modal, pekerjaan dan sebagainya.

Beliau menyatakan komitmennya untuk meningkatkan pengukuhan “ketelusan dan akauntabiliti”. Soal besarnya, mampukah Najib menyuntik keyakinan pelabur pada saat-saat seperti ini?

Mentelah 2018 tahun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Najib mengambil kesempatan mengecam pihak pembangkang. Kata-katanya sinis dan keras terhadap pengkritik dasar dan amalan serta kepincangan tadbir urusnya.

Najib acap lupa, komuniti pelabur golongan amat peka dan berpengetahuan tentang ekonomi makro dan mikro termasuk perihal skandal-skandal mega sebuah negara. Mereka perlu tahu pelbagai sisi profil risiko pelaburan mereka.

Umum masih belum lupa e-majalah kewangan Finance Asia meletakkan Najib sebagai “Menteri Kewangan Paling Corot” pada tahun. Ketika itu, skandal 1MDB meletup dan nilai ringgit menjunam sementara rakyat amat terbeban dengan lonjakan kos sara hidup.

Sementara Najib ghairah dengan angka-angka “ajaibnya”, bagaimana agaknya, Finance Asia akan menilai beliau untuk 2018, akibat perihal skandal baru termasuk “Felda-KL Vertical City?” Beliau menteri yang bertanggungjawab.

Juga begitu pertikaian urus niaga pembelian tanah RM2 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan MOF lnc yang menggunakan syarikat RM2, MKD Signature SB, yang membeli 51% saham dari Mulia Property Development, pemilik The Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX). Perihal Felda membeli Eagle High Plantation masih belum dilupai pihak penganalisis. Banyak tanda tanya pihak pelabur yang mesti dijawab.

Bagaimana pula dengan “bailout” mega oleh dana PNB dan KWSP sebanyak RM8.7 bilion dalam kes “Battersea Power Station” di London milik konsortium Sime Darby-Setia? Cakap-cakap Najib tentang meningkat ketelusan dan akauntabiliti memang macam tin kosong!

Tolak tepi kritikan pembangkang kalau itu yang Najib kurang senang. Nah, kita perhatikan apa kata pakar-pakar ekonomi tempatan tentang “keajaiban” polisi ekonomi Najib (atau Najibnomiks) yang mahu dijaja dan diperagakan sebelum PRU14 ini?

Bercakap tentang pertumbuhan, Najib tentunya banggakan dengan 5.8% KDNK untuk 2017.Tetapi malangnya segera ditempelak oleh seorang pakar ekonomi tempatan Dr Muhammad Khalid.

Muhammad dalam kenyataan baru ini mengingatkan Putrajaya, bahawa angka “pertumbuhan” bukanlah ukuran terbaik menilai “kesihatan” ekonomi negara.

Ia hanya penunjuk pengeluaran di segi jumlah produk dan perkhidmatan dalam sebuah negara. Pertumbuhan, contohnya tidak memaparkan kadar hutang akibat pacuan “pembangunan”, pencemaran akibat pembalakan atau perlombongan bauksit, serta tidak menerangkan sama ada kekayaan dijana KDNK dinikmati semua lapisan rakyat.

Mengaitkan KDNK dengan kesejahteraan kerja “bodoh” tegas beliau. Ini bukan pembangkang cakap, walaupun saya sendiri telah lama menulis hal ini. Isunya tegas Muhammad, sama ada pertumbuhan menjana peluang pekerjaan yang adil dan upah yang baik serta “bermaruah” untuk pekerja.

Ekonomi dikatakan “sihat sejahtera” apabila semua kategori khususnya bawah 40 (B40) mendapat manfaat bersekali dengan golongan menengah (M40) dan T20.

Najib wajar diingatkan, di antara 2014 dan 2016, ketika ekonomi tumbuh, data dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan pendapatan golongan rendah menurun.

Nisbah jumlah pendapatan isi rumah golongan B40, mengikut EPU, menurun ke dari 16.8% pada 2014 ke 16.4% pada 2016! Najib tidak layak berbangga kerana beliau masih gagal menjana pertumbuhan yang “inklusif”.

Seorang Profesor Ekonomi dari Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berpendapat kita perlu merubah ekonomi daripada berasaskan penggunaan kepada lebih berasaskan pelaburan. Kerajaan perlu menimbang beberapa dasar agar lebih mapan dan produktif dalam jangka panjang. Najib wajar akui hakikat itu.

BRIM tidak salah tetapi, tegas beliau kerajaan mesti perbanyakan peluang pekerjaan dan berusaha kurangkan penerima BRIM. Persoalan kebolehpekerjaan pokok seperti yang selalu ditegaskan kami dalam PH.

Seorang pakar ekonomi terkemuka Prof Kamal Saleh juga berpandangan bahawa pendekatan menambah pendapatan lebih baik daripada program BRIM (cash handout).

Menurut beliau, sementara bantuan BRIM tahunan mempunyai kesan kecil 0.04% daripada pendapatan negara, bayaran gaji minima mempunyai kesan penting pada 4%. Tegasnya, negara tidak akan mencapai prestasi ekonomi yang tinggi dengan “Ekonomi BRIM”.

Bukan pula untuk memperlekeh “Uber-Economy”. Tapi maklumlah, mana pekerjaan graduan STEM (Sains, Teknologi, Matematik dan Engineering) yang ditanya sebuah NGO pendidikan, PAGE?

Sementara itu bekas penolong gabenor BNM, Lin See-Yan mengingatkan Najib bahawa cakap-cakap tentang TN50 mesti bermula dengan reformasi pendidikan, hentikan penggunaan buruh asing yang murah dan meningkatkan industri dan produktiviti serta produk yang punya nilai tambah tinggi.

Beliau mengingatkan supaya tidak perlu menyolekkan angka pertumbuhan (sugar-coated) yang lemah. Wujud jurang, katnya antara statistik kerajaan yang “cantik” dengan kehidupan rakyat yang terbeban dengan himpitan kos sara hidup tinggi.

Indeks Sentimen Pengguna semua merosot akibat GST dan kos barang tinggi. Jualan runcit jatuh dan angka pertumbuhan dipacu oleh eksport, terutama dalam bidang pembuatan iaitu elektrik dan elektronik (E&E).

Tetapi umum tahu, produk E&E negara kita punya nilai tambah yang kecil dan bahan-bahan input hampir semua diimport. Tak boleh sangat hendak berbangga dengan keupayaan produk kita. Cabaran Revolusi Industri 4.0 lebih menggigit lagi.

Bercakap tentang disiplin fiskal, cukup untuk dipetik kritikan seorang lagi profesor ekonomi tersohor, Dr Jomo Sundaram. Akibat ekonomi yang “berbelanja besar”, hutang kerajaan persekutuan meningkat 10% setiap tahun dari RM123.1bilion pada 2007 dan melonjak ke paras RM687.43 pada September 2017.

Unjuran majalah The Edge, hutang akan mencecah RM1 trilion pada 2021, RM2 trilion pada 2028 dan RM3 trilion pada 2032. Bayaran bunga hutang saja mencecah RM30.88 bilion pada 2018. Ini bermakna 71% daripada pungutan hasil GST (RM43.8 bilion) untuk bayaran bunga hutang.

Jomo berpandangan amat mustahak untuk kepimpinan negara membuat perbelanjaan pembangunan dan bukan meningkatkan kos pengurusan.

Salah satu “kecurangan” Najib adalah menyembunyikan perbelanjaan pembangunan infrastruktur dari belanjawan persekutuan dengan cara menggunakan “off-budget or off balance-sheet spending”.

Sekali gus kritik beliau, ini menjadi urus niaga pelaburan ini tidak telus dan tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan melonjakkan jumlah hutang secara senyap. Hampir semua pelbagai pembangunan mega termasuk ECRL, TRX, Bandar Malaysia adalah perbelanjaan sebegini. 1MDB dan Felda adalah “mercu tanda kejayaan” Najib serta cerminan disiplin fiskalnya yang amat bobrok.

Jomo dan ramai pakar ekonomi lain kerap mengkritik Najib akan pelbagai perihal tadbir urus ekonomi negara. PH juga acap kali menyelar keculasannya.

Persoalan besarnya, mampukah Najib menyuntik keyakinan pelabur setelah kerja buatnya tidak seperti komitmen cakap-cakapnya?

Mampukah negara dan rakyat survive satu penggal lagi dengan keculasan dan kebobrokan tadbir urus kewangan Najib ini?

Tegasnya, Najib dan Barisan Nasional mesti dikalahkan untuk rakyat dan negara “diselamatkan”. Sama ada rakyat menang atau Najib kalah. – 28 Januari, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

*


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • betul ke negara ni akan selamat sekiranya BN ditumbangkan dan pembangkang berjaya menggantikan BN.. tengok saja negeri2 yang dikawal oleh pembangkang semuanya tidak menunjukkan sebarang perkembangan dan kemajuan yang sihat. pembangkang sangat berbangga dengan pelantikan Tun sebagai calon PM mereka, kalau kita lihat balik cara kepimpinan tun dulu banyak memberi kan kesan negatif cuma masa Tun media sosial tak da lagi jadi rakyat tak nampak apa yang Tun lakukan ketika itu... ketika Tun banyak projek yang tergendala contohnya Perwaja Steel, empangan Bakun dan banyak lagi yang kita tak tahu

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan