MENTERI Luar China Wang Yi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Interim Afghanistan Mullah Abdul Ghani Baradar di Qatar pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Wang menyatakan Afghanistan sedang berada dalam keadaan sukar untuk menstabilkan masyarakat serta berdepan cabaran berkaitan isu kemanusiaan, ekonomi, antikeganasan dan tadbir urus negara.
Menurutnya, China sentiasa menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Afghanistan serta menyokong rakyatnya untuk menentukan sendiri nasib dan pembangunan negara.
“China tidak pernah mencampuri urusan dalaman Afghanistan, tidak mahu memperoleh sebarang keuntungan dan juga tidak cuba memperluas pengaruh sendiri di kawasan itu.
“China memberikan perhatian kepada perkara berkaitan kemanusiaan yang dihadapi Afghanistan, menggesa Amerika Syarikat dan Barat membatalkan sekatan serta menyeru pelbagai pihak berurusan dengan Taliban secara rasional dan pragmatik untuk membantu mereka berkembang ke arah yang baik,” kata Wang.
Katanya, China juga bersedia menghulurkan bantuan berbentuk barangan kepada Afghanistan dan bersama-sama masyarakat antarabangsa membantu negara itu mengatasi kesukaran sehingga ia mampu membangun semula.
Pada masa sama, Wang berharap dan yakin Taliban akan mengambil tindakan yang berkesan untuk memerangi secara semua pertubuhan keganasan.
Dalam pada itu, Baradar turut menzahirkan penghargaan Taliban terhadap keprihatinan China mengenai isu keselamatan negara itu.
Beliau turut memberi jaminan akan menunaikan janjinya dan tidak akan mengizinkan sebarang pihak atau kuasa yang mahu menjejaskan China di wilayahnya. – Bernama, 26 Oktober, 2021.
Komen