Lima terbunuh, pengedar dadah serang balai polis


Pekerja penyelamat membawa pegawai polis yang cedera dalam serangan bom di balai polis Barranquilla semalam, untuk mendapatkan rawatan segera. – Gambar AFP, 28 Januari, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA lima pegawai polis terbunuh dan 41 lagi cedera, apabila beberapa pengedar dadah meletupkan bom kawalan jauh, di sebuah balai polis di Barranquilla, Bogota, semalam.

Komander Polis Barranquilla Mariano Botero berkata serangan itu yang terburuk pernah dilakukan ke atas pegawai keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membabitkan bandar terpenting di negara itu.

Ia berlaku selepas kerajaan pimpinan Presiden Juan Manuel Santos berusaha menamatkan konflik bersenjata yang membelenggu Colombia sejak 50 tahun lalu.

Sebahagian besar keganasan di Colombia berpunca oleh sindiket pengedaran dadah yang berleluasa, dan letupan terbaru itu turut menjejaskan persiapan menyambut perayaan tahunan bandar berkenaan.

Botero berkata letupan berlaku ketika semua anggota sedang berhimpun untuk taklimat pagi.

Sumber polis berkata terdapat 49 pegawai polis di lokasi ketika kejadian, lima daripadanya yang berusia antara 24 dan 31 terbunuh manakala 41 lagi cedera parah.

Peguam Negara Nestor Martinez berkata seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki terbabit melakukan serangan itu. – AFP, 28 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen