Puteri Mako akhirnya kahwin selepas bertahun kontroversi


Puteri Mako (kanan) tunduk ketika meninggalkan kediamannya di Tokyo, Jepun, hari ini. Agensi Rumah Tangga Imperial mengumumkan Puteri Mako berkahwin dengan teman lelakinya Kei Komuro. – Gambar EPA, 26 Oktober, 2021.

PUTERI Jepun Mako mengahwini kekasih hatinya sejak zaman universiti pada Selasa, melepaskan gelaran diraja, dengan pasangan itu dilaporkan merancang untuk berpindah ke Amerika Syarikat (AS).

Wanita dalam keluarga diraja tidak boleh menaiki Takhta Chrysanthemum, dan kehilangan status diraja apabila berkahwin dengan rakyat biasa.

Anak saudara Maharaja Naruhito, Mako yang berusia 30 tahun tidak terkecuali apabila berkahwin dengan Kei Komuro, yang sebaya dan bekerja untuk firma guaman AS.

Sejak mengumumkan pertunangan mereka pada 2017, pasangan itu berdepan skandal tabloid berhubung laporan keluarganya menghadapi masalah kewangan.

Tetapi selepas tertangguh bertahun lamanya, pasangan itu akhirnya berkahwin—walaupun tanpa majlis perkahwinan, jamuan resepsi atau mana-mana upacara tradisional yang rumit—memilih melakukannya secara tertutup.

Mako juga menolak bayaran lumayan yang biasanya beri kepada wanita dalam keluarga diraja semasa berkahwin, yang dilaporkan berjumlah sehingga 153 juta yen (AS$1.35 juta).

Keluarga diraja Jepun berpegang kuat kepada tradisi dan Mako mengalami tekanan selepas trauma yang kompleks kerana perhatian media, menurut Agensi Rumah Tangga Imperial.

Seorang pegawai memberitahu AFP surat kahwin sudah difailkan dan diterima selepas rakaman TV menunjukkan beliau meninggalkan Kediaman Diraja Akasaka pada sebelah pagi.

Puteri itu, memegang sejambak kecil bunga merah jambu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya—tunduk hormat kepada ibu bapanya dan media serta memeluk adiknya.

Mereka dilaporkan merancang menetap di AS dan dijadualkan bercakap kepada pemberita pada petang Selasa, tetapi akan memberi kenyataan dan jawapan bertulis kepada soalan bagi mengelakkan tekanan kepada Mako. – AFP, 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen