Agenda Bajet Belia 2022: Suara belia untuk manfaat negara


SEJAK awal Ogos lalu saya mempengerusikan Agenda Bajet Belia 2022, satu platform konsultasi awam bersama 30 kumpulan belia berpersatuan dan juga belia tidak berpersatuan termasuk sayap Pemuda parti politik bagi mengangkat suara belia dan memungut dapatan cadangan untuk diambil kira oleh kerajaan dalam merangka Belanjawan 2022. 

Agenda Bajet Belia 2022 ini juga ialah inisiatif untuk benar-benar memaknakan idea Keluarga Malaysia gagasan perdana menteri sekaligus memastikan suara dan aspirasi belia daripada semua lapisan umur, kumpulan kerja dan kaum dapat disalurkan secara terus  kepada pentadbiran tertinggi Malaysia.

Ia juga sebagai tanda keprihatinan terhadap isu-isu belia. 

Berdasarkan penelitian unjuran prestasi terkini ekonomi negara serta inisiatif pembaharuan kewangan awam, berikut ialah cadangan daripada sesi konsultasi awam tersebut: 

1. Memperkasa ekonomi belia dengan mewujudkan Dasar Ekonomi Belia melalui insentif, geran bantuan dan pembiayaan boleh ubah yang mesra belia. Antara langkah khusus  yang dicadangkan di bawah dasar ini adalah: 

* Pembentukan GLC khusus yang menghimpunkan usahawan belia daripada pelbagai  bidang, membuat kajian inisiatif kerajaan yang boleh membantu ekonomi belia, dan  mengelola kebajikan ekonomi belia. 

* Mempelbagaikan jenis geran untuk merangkumi dengan lebih meluas kumpulan sasaran dan bidang keusahawanan yang dipelopori secara majoriti oleh belia seperti bidang e-Sports, agropreneur dan lain-lain. 

2. Meningkatkan peruntukan pendidikan khusus kepada belia kaum India seperti mewujudkan sekolah berasrama penuh khusus untuk masyarakat India. 

3. Meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan per kapita bagi memastikan imbangan  pendapatan negara dan rakyat pasca pandemik Covid-19. 

4. Subsidi bersasar bagi yuran kemasukan ke IPTA/IPTS, dengan menyasarkan kumpulan yang kurang bernasib baik dan program-program pengajian yang memerlukan bantuan lonjakan untuk berkembang. 

5. Meluaskan cakupan program insentif dan geran bantuan kerajaan kepada belia lepasan bidang kemahiran (TVET). 

Belanjawan 2022 pastinya bakal memberikan kesan jangka panjang yang besar kepada dasar fiskal ekonomi negara.

Langkah Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan pra-bajet wajar dilihat sebagai usaha reformasi belanjawan negara seterusnya memastikan ketelusan dan keterlibatan sebanyak mungkin pihak termasuk golongan belia dalam proses merangka bajet tahunan negara. – 26 Oktober, 2021.

* Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen