Bersatu, PAS, Gerakan tanding logo Perikatan di Melaka, kata Muhyiddin


Parti komponen PN sepakat menawarkan calon dalam PRN Melaka dan menggunakan lambang PN. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

BERSATU, PAS dan Gerakan akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), pengerusi gabungan Muhyiddin Yassin.

Persetujuan dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi.

“Parti-parti komponen PN iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat untuk menawarkan calon-calon dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” kata pengerusinya Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Mesyuarat malam tadi juga menetapkan rundingan kerusi yang akan ditandingi oleh parti akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN, kata Muhyiddin.

Kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi selepas mesyuarat berakhir menjelang tengah malam, khusus membincangkan satu perkara iaitu PRN Melaka.

Mesyuarat dihadiri semua parti komponen termasuk dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP, menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata PN akan bertanding semua 28 kerusi DUN Melaka selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) enggan bekerjasama dengan gabungan itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga memaklumkan mesyuarat malam tadi turut memutuskan untuk semua parti komponen PN menggerakkan sepenuhnya jentera masing-masing untuk menang di Melaka.

“PN sentiasa berpegang kepada aspirasi memelihara perpaduan, memastikan pentadbiran berintegriti dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November dan pengundian pada 20 November.

Ahad lepas, Kementerian Kesihatan mengeluarkan larangan terhadap sebarang bentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya, berkuat kuasa sehingga 27 November.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata larangan itu bertujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak. – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen