Mexico mula beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berisiko


Pihak berkuasa di Mexico City berkata mereka mula menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech untuk menyuntik kanak-kanak dengan komorbid yang berusia antara 12 dan 17 tahun. – Gambar EPA, 26 Oktober, 2021.

MEXICO semalam memulakan vaksinasi Covid-19 terhadap remaja yang menghidap penyakit kronik di ibu negara sebagai langkah terbaru dalam usaha imunisasi di salah sebuah negara yang paling teruk dilanda wabak berkenaan.

Pihak berkuasa di Mexico City berkata mereka mula menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech untuk menyuntik kanak-kanak dengan komorbid yang berusia antara 12 dan 17 tahun.

Negeri barat laut Baja California yang bersempadan dengan Amerika Syarikat juga memulakan vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak di bawah umur dengan penyakit serius.

Kerajaan Mexico tidak memasukkan kanak-kanak di bawah umur di dalam pelan imunisasi nasionalnya dan mengatakan pendedahan vaksin pada usia awal boleh menjejaskan sistem imun mereka.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan bulan ini polisi itu mesti diubah supaya kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun diberi imunisasi secara meluas – satu keputusan yang sedang dianalisis oleh kerajaan.

Kira-kira 25 juta pelajar sekolah kembali menyambung sesi persekolahan pada penghujung Ogos dan beberapa ibu bapa mengambil tindakan untuk memberikan anak mereka vaksin.

Negara yang mempunyai 126 juta penduduk itu mempunyai angka kematian rasmi melebihi 286,000 yang mana ia merupajan jumlah keempat tertinggi di dunia.

Kira-kira 53.5 juta golongan dewasa sudah diberi vaksin sepenuhnya di Mexico.

Di tempat lain di rantau ini, Nicaragua semalam mula memberi vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh Cuba kepada kanak-kanak dari usia dua tahun.

Pihak berkuasa di Amerika Tengah itu berkata mereka merancang vaksinasi secara sukarela untuk kira-kira 2.1 juta kanak-kanak dan remaja. – AFP, 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen