Semua pihak perlu patuh larangan KKM tentang PRN Melaka, kata ketua menteri


Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata kempen pilihan raya boleh dibuat dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2021.

SEMUA pihak termasuk parti politik diharap memberikan kerjasama dengan mematuhi beberapa larangan dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka demi keselamatan dan kesihatan rakyat.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata ini penting bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 akan terus dapat dikekang dan dikawal.

Beliau berkata pendekatan lain yang boleh digunakan bagi berkempen adalah dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. 

“Walaupun kaedah ini dilihat sesuatu perkara baharu, saya yakin semua parti bertanding telah bersedia dengan pendekatan yang mematuhi SOP (prosedur operasi standard) berkenaan. SOP ini perlulah diikuti untuk memastikan tiada penularan jangkitan…pada saya eloklah kita akur,” katanya di Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada 160 penerima di Seri Bendahara, Ayer Keroh di Melaka.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan selain aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial, penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan berkuat kuasa hari ini hingga 27 November.

Berdasarkan pemantauan KKM, Khairy berkata antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster Covid-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Adun bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman. – Bernama, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen