SEMPENA ulang tahun ke-50 keanggotaan Republik Rakyat China dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Presiden China, Xi Jinping mengimbau kembali sejarah luar biasa antara China dan PBB, di samping terus berusaha untuk berkembang menuju ke dunia yang lebih baik.
Dalam sidang video bersama Setiausaha Agung PBB, António Guterres pada Isnin pagi, Xi berkata pandemik Covid-19 membawa impak besar kepada pelbagai negara terutamanya dalam kalangan negara membangun.
“Melawan wabak dan membaik pulih ekonomi perlu diusahakan bersama-sama serta mengulangi pendirian agar vaksin dibahagikan secara adil bagi membendung wabak di negara-negara membangun.
“China bersedia meningkatkan penyelarasan dengan PBB, melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global, menyelesaikan masalah pembangunan negara-negara membangun, mendorong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB dan kemajuan global ke fasa baharu yang seimbang dan inklusif,” kata Xi.
Beliau turut menyeru pelbagai negara untuk melaksanakan “Perjanjian Paris” tatkala menghadapi perubahan iklim, mengamalkan prinsip memikul tanggungjawab secara bersama, serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, sekali gus membantu transformasi ekonomi negara membangun.
Xi menegaskan, China juga akan menyokong sebarang usaha perlindungan terhadap kepelbagaian biologi negara-negara membangun.
“China sentiasa mengikuti matlamat PBB dan multilateralisme supaya memberi sumbangan dalam pembangunan dan keamanan sedunia termasuk mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” katanya.
Sementara itu, António Guterres pula menyatakan pembangunan China telah membawa peluang kepada dunia dan pihaknya menghargai tindakan China mengekalkan multilateralisme dan sokongannya terhadap semua usaha PBB.
Katanya, China juga memainkan peranan penting bagi mendorong pembangunan dan keamanan dunia.
Guterres berkata, masyarakat antarabangsa perlu terus meningkatkan kerjasama yang padu, memegang prinsip multilateralisme, menyempurnakan tadbir urus global dan merealisasikan keadilan serta menolak amalan unilateralisme secara menyeluruh. – Bernama, 25 Oktober, 2021.
Komen