Tentera tangkap PM, pemimpin dalam rampasan kuasa Sudan


Munurut wartawan, ratusan penunjuk perasaan membakar tayar kereta ketika mereka berkumpul di jalanan di ibu negara bagi membantah penahanan Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok dan pemimpin lain oleh pasukan tentera. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2021.

ANGKATAN bersenjata memberkas Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok kerana tidak mahu untuk menyokong “rampasan kuasa” mereka pada Isnin, kata kementerian maklumat, setelah beberapa minggu ketegangan antara tentera dan pemimpin awam yang berkongsi kuasa sejak penggulingan Omar al-Bashir.

Turut ditangkap oleh tentera adalah anggota majlis kerajaan Sudan dan menteri dalam pemerintahan peralihan Hamdok, kata kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Perkhidmatan internet terputus di seluruh negara dan jalan utama serta jambatan yang menghubungkan ibu negara Khartoum ditutup, tambahnya.

Ratusan penunjuk perasaan membakar tayar kereta ketika mereka berkumpul di jalanan di ibu negara bagi membantah penahanan itu, kata seorang wartawan AFP.

“Ahli dewan peralihan dan sejumlah menteri dari kerajaan peralihan telah ditahan oleh pasukan tentera,” kata kementerian maklumat.

“Mereka telah dibawa ke lokasi yang tidak diketahui,” katanya.

Ia menambah “selepas enggan menyokong rampasan kuasa, pasukan tentera menangkap Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan membawanya ke lokasi yang tidak dikenal pasti”.

Duta Khas Amerika Syarikat (AS) ke Sudan Jeffrey Feltman berkata “AS amat bimbang dengan laporan mengenai pengambilalihan tentera kerajaan peralihan”.

“Ini bertentangan dengan Deklarasi Perlembagaan (yang menggariskan peralihan) dan aspirasi demokratik rakyat Sudan,” kata Feltman dalam satu kenyataan di Twitter.

“Sebarang perubahan kepada kerajaan peralihan secara paksa membahayakan bantuan AS.” – AFP, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen