AS fail rayuan ekstradisi Julian Assange


Julian Assange ditahan di Britain pada 2019 selepas tujuh tahun berada di kedutaan Ecuador di London untuk elak ekstradisi ke Sweden bagi tuduhan serangan seksual. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) akan memulakan rayuan untuk mengekstradisi pengasas WikiLeaks, Julian Assange, Rabu ini bagi menghadapi perbicaraan kerana menerbitkan kerahsiaan ketenteraan.

Washington mengemukakan rayuan selepas kecewa dengan keputusan Hakim Vanessa Baraitse pada Januari lalu menolak permohonan ekstradisi atas alasan Assange berisiko membunuh diri jika berada dalam tahanan.

Dalam rayuan selama dua hari AS menyifatkan keputusan hakim itu tidak mempertimbangkan perkara’ yang dijelaskan pakar dengan mengatakan lelaki itu tidak berisiko membunuh diri.

Sebaliknya, hakim berkenaan disifatkan terkhilaf dengan bukti dikemukakan pakar psikiatri Assange, Michael Kopelman.

Assange, 50, ditahan di Britain pada 2019 selepas tujuh tahun berada di kedutaan Ecuador di London untuk mengelakkan ekstradisi ke Sweden bagi tuduhan serangan seksual, yang kemudiannya digugurkan.

Walaupun tidak diektradisi, jaminan sementara Assange ditolak bagi menunggu keputusan rayuan kerana dia dibimbangi akan melarikan diri dan kini ditahan di di Penjara Belmars di London.

Dia dikehendaki di Washington kerana berdepan 18 pertuduhan bagi pembocoran 500,000 fail rahsia menerusi WikiLeaks pada 2010 berkaitan aspek kempen ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 175 tahun, mengikut undang-undang AS.

Hakim Baraitser sebelum ini berkata, tiada bukti untuk AS memastikan keselamatannya ketika Assange dipenjarakan dalam tempoh menunggu perbicaraan. – AFP, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen