Mahkamah Tinggi benarkan Shafee dapat semula pasport


Hailey Chung Wee Kye

Peguam Muhammad Shafee Abdullah diberi kebenaran mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkannya menguruskan hal pengajian anaknya di New York, Amerika Syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah mendapatkan semula pasport bagi membolehkannya menguruskan hal pengajian anak lelakinya di New York, Amerika Syarikat.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Shafee untuk melepaskan sementara pasport antarabangsanya bagi menyelesaikan urusan pengajian anaknya di The New School Parson di New York.

Beliau memutuskan pasport akan diberikan kepada Shafee mulai hari ini sehingga 3 Disember.

Shafee, 69, kini dibicarakan di mahkamah atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Peguamnya Wee Yeon Kang memberitahu mahkamah hari ini Shafee perlu bertolak ke New York dari 27 Oktober sehingga 30 November melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan. 

Shafee, 69, dituduh melakukan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang diterimanya daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Shafee turut didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata cukai tidak betul bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Najib, dan isterinya Rosmah Mansor serta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi merupakan antara individu berprofil tinggi yang berjaya memohon agar pasport mereka dikembalikan untuk perjalanan antarabangsa ketika mereka sedang dalam perbicaraan atau menunggu untuk mengemukakan rayuan. – 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen