SEPASANG kasut sukan dipakai bintang bola keranjang NBA Michael Jordan pada awal kerjayanya, berjaya dijual pada hampir AS$1.5 juta semalam, menjadikan ia rekod baharu dalam sektor lelongan kasut, kata Sotheby.
Kasut berwarna merah putih itu dipakai pemain ikonik berkenaan pada perlawanan kelima pada musim pertamanya dengan Chicago Bulls, dan gabungan Jordan dan jenama Nike menjadi sensasi di dalam dan luar gelanggang.
“Ia kasut sukan paling bernilai pernah ditawarkan di lelongan – kasut Nike Air Ships milik Jordan dari 1984 hanya dapat dijual pada harga AS$1,472,000 dalam satu jualan mewah di Las Vegas,” kata syarikat lelong itu dalam satu kenyataan di Twitter.
Harga besar itu menewaskan rekod sepasang kasut Nike Air Jordans yang dijual pada AS$615,000 Ogos lalu.
Sepasang Nike Air Yeezy 1s dipakai penyanyi rap Kanye West dijual pada AS$1.8 juta April lalu, tiga kali ganda berbanding jualan kasut sukan sebelum ini – walaupun ia jualan tertutup.
Pasaran untuk kasut sukan yang sukar ditemui sedang berkembang.
Model Air Ships adalah asas kepada Air Jordans direka oleh Peter Moore. Jordan memakai model Air Ships pada 1984 dan 1985, serta versi dinaik taraf pada 1986. – AFP, 25 Oktober, 2021.
Komen