Israel ceroboh lagi, bina 1,300 rumah di Tebing Barat


Perdana Menteri baharu Israel Naftali Bennet yang menggulingkan kerajaan Benjamin Netanyahu dikecam kerana sekadar meneruskan pencerobohan dilakukan di Tebing Barat selama ini. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2021.

PALESTIN mengutuk rancangan terbaru rejim Israel yang mahu membina lebih banyak kediaman untuk Yahudi di Tebing Barat.

Susulan itu, Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak terhadap Israel kerana terus menceroboh tanah Palestin untuk membina penempatan itu.

Kerajaan Palestin juga sedang menunggu jawapan pentadbiran Presiden AS Joe Biden yang sebelum ini menentang pembinaan penempatan Yahudi kerana ia dilihat menjadi penghalang kepada penyelesaian konflik di negara itu.

Sementara itu, Jordan yang juga sekutu Israel dalam sudut keselamatan turut mengutuk pengumuman itu dan menyelar ia pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Pembinaan penempatan dan rampasan tanah Palestin itu secara umumnya adalah tidak sah,” kata Menteri Luar Jordan Haitham Abu Al-Ful, semalam.

Menteri Perumahan Zeev Elkin, ahli parti sayap kanan New Hope dalam satu kenyataan berkata rancangan “memperkukuhkan kehadiran Yahudi (di Tebing Barat) adalah penting untuk visi zionis”.

Tender pembinaan 1,355 rumah untuk Yahudi di Tebing Barat dikeluarkan Kementerian Perumahan Israel, sekali gus pertambahan 2,000 unit lagi di Tebing Barat, menurut sumber ketenteraan.

Kira-kira 475,000 Yahudi kini menduduki secara haram di Tebing Barat ketika ini selepas ditakluk rejim Israel pada 1967 walaupun tindakan itu bertentangan perundangan antarabangsa.

Kumpulan Peace Now yang anti tindakan Israel itu berkata kerajaan Perdana Menteri Naftali Bennet yang menggulingkan kerajaan bekas perdana menteri Benjamin Netanyahu pada Jun lalu bukan “kerajaan pembaharuan”.

“Kerajaan ini ternyata meneruskan dasar sama seperti Netanyahu,” kata mereka yang meminta parti sayap kiri Bennett, Parti Buruh dan parti Meretx menentang rancangan itu secepat mungkin. – AFP, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen