4 pendaki maut insiden runtuhan di puncak Chimborazo


Pada 1994, runtuhan di gunung berapi Chimborazo menyebabkan 10 pendaki mati termasuk seorang warga Switzerland dan enam rakyat Perancis. – Gambar AFP, 25 Oktober, 2021.

INSIDEN runtuhan di puncak gunung berapi Ecuador yang bersalji menyebabkan sekurang-kurangnya empat pendaki terbunuh dan mencederakan yang lain, kata pihak berkuasa.

Runtuhan itu terjatuh di atas sekumpulan kira-kira 12 pendaki ketika berada di ketinggian 6,100 meter di gunung berapi Chimborazo, puncak tertinggi Ecuador di tengah wilayah Andean, kata perkhidmatan keselamatan ECU911.

“Empat disahkan meninggal dunia dan seorang cedera,” kata agensi itu.

Agensi itu tidak memaklumkan kewarganegaraan mangsa, tetapi puncak gunung berapi itu menjadi tarikan pendaki tempatan dan luar negara.

Pasukan penyelamat termasuk polis dan tentera menubuhkan pusat koordinasi operasi di Chimborazo.

Gunung berapi itu yang setinggi 6,263 meter dari paras laut, dilitupi salji dan glasier sepanjang tahun, terletak kira-kira 130km di selatan Quito.

Kementerian Alam Sekitar Ecuador pada masa ini menutup sementara sekitar hutan simpan Chimborazo yang popular dalam kalangan pelancong.

Walaupun gunung berapi itu sentiasa bersalji, ia tetap sering menjadi tumpuan ramai.

Insiden kemalangan maut sering berlaku di gunung berapi itu sejak beberapa dekad terakhir.

Pada 2003, pesawat Ecuador yang terhempas pada 1976 dengan 59 penumpang di dalamnya, akhirnya ditemui pendaki kira-kira 700 meter dari puncak.

Pesawat itu bertembung dengan dinding batu Chimborazo, dan tertutup oleh runtuhan.

Pada 2015, sisa mayat tiga pendaki, dipercayai hilang 20 hingga 30 tahun lalu, ditemui pada ketinggian 5,500 meter.

Pada 1994, runtuhan menyebabkan 10 pendaki mati termasuk seorang warga Switzerland dan enam rakyat Perancis.

Chimborazo kali terakhir meletus pada permulaan abad ke-5 dan hujung abad ke-7, menurut Institut Geofizikal Quito, yang berkata tempoh antara letusan berjarak kira-kira 1,000 tahun. – AFP, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen