GEMPA bumi besar melanda timur laut Taiwan hari ini dengan gegaran turut dirasai penduduk di ibu kota Taipei.
Bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan dilaporkan setakat ini.
Menurut Biro Kaji Cuaca Pusat Taiwan, gempa itu berkekuatan 6.5 pada skala Richter, gegaran terbesar yang melanda pulau itu tahun ini
Namun, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan kekuatan gegaran adalah lebih rendah pada skala 6.2.
Gempa melanda daerah timur laut Yilan pada 1.11 petang (waktu tempatan) pada kedalaman 67 kilometer.
Seorang wartawan AFP yang tinggal di Yilan berkata gegaran itu berlaku kira-kira 30 saat.
“Dinding rumah bergegar, sebelah atas dan bawah, terasa agak kuat,” kata wartawan itu.
Bagaimanapun, tiada kerosakan di kawasan kejiranannya.
Gempa bumi utama itu diikuti gegaran susulan pada skala 5.4 dan sistem transit MRT Taipei ditutup lebih kurang sejam sebagai langkah berjaga-jaga sebelum perkhidmatan berkenaan disambung semula.
Tom Parker, seorang pereka grafik Britain yang tinggal di Taipei, berkata beliau sedang menaiki kereta api bawah tanah ketika gempa itu berlaku.
“Pertama kali saya merasakan gempa di dalam MRT. Ia seperti menaiki rollercoaster kecil,” katanya di Twitter sambil menambah beliau dan penumpang lain dimaklumkan supaya berlindung di stesen.
Ramai penduduk lain turut melaporkan gegaran itu di media sosial. – AFP, 24 Oktober, 2021.
Komen