SEORANG lelaki Cuba yang mengambil bahagian dalam protes jalanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh negara pada Julai telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, hukuman paling keras bagi sesiapa yang menentang kerajaan komunis dalam perhimpunan tersebut, menurut ahli keluarganya dan kumpulan hak asasi manusia pada Sabtu.
Hukuman terhadap Roberto Perez Fonseca, 38 tahun, telah dijatuhkan oleh mahkamah di San Jose de las Lajas, sebuah bandar 35 kilometer dari Havana.
Pada 11 dan 12 Julai, ribuan rakyat Cuba melaungkan “kebebasan” dan “kami lapar” di jalan raya di kira-kira 50 bandar dan pekan untuk membantah keadaan hidup yang teruk dan penindasan kerajaan.
Protes itu, yang tidak pernah wujud sejak revolusi Cuba pada 1959, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan berpuluh-puluh cedera ketika pasukan keselamatan bertindak tegas.
Kira-kira 1,130 orang ditangkap, dan lebih separuh daripadanya masih dipenjara, kata Cubalex, kumpulan hak asasi manusia yang berpusat di Miami.
Mahkamah berkata Perez Fonseca bersalah kerana menghina, membuat kekacauan awam dan menghasut untuk melakukan jenayah.
Hukuman yang bertarikh 6 Oktober itu dilihat AFP selepas keluarga Perez Fonseca dimaklumkan minggu ini.
Tiga hakim di mahkamah mendengar daripada saksi tunggal, Jorge Luis Garcia Montero, seorang anggota polis di San Jose de las Lajas. Manakala dua orang yang ingin beri keterangan pembelaan, iaitu saudara dan rakan Fonseca telah dihalang.
Pegawai polis itu berkata Perez Fonseca menghasut orang lain untuk membaling batu dan botol pada hari tunjuk perasaan. Beliau berkata defendan membaling batu yang terkena pergelangan tangannya dan satu lagi terkena kereta polis, menurut dokumen hukuman.
Perez Fonseca, bapa kepada dua anak, ditahan di rumah ibunya pada 16 Julai.
Hukuman itu “berlebihan dan melanggar semua jaminan untuk proses adil,” kata Laritza Diversent, ketua Cubalex. – AFP, 24 Oktober, 2021.
Komen