PENGEDAR dadah paling dikehendaki di Colombia, Otoniel ditahan dalam satu serbuan berhampiran sempadan Panama.
Otoniel atau nama sebenarnya, Dairo Antonio Usuga yang mengetuai kumpulan dadah terbesar dikenali Gulf Clan, ditahan di sebuah pusat operasi utamanya di Necocli.
Kerajaan mendedahkan rakaman imej menunjukkan individu berusia 50 tahun itu digari dan dikelilingi tentera.
Presiden Ivan Duque berkata penahanan Otoniel kejayaan besar dan boleh dibandingkan dengan kejatuhan raja penyeludup dadah Colombia, Pablo Escobar.
“Ini serbuan paling sukar dan berjaya dalam menumpaskan sindiket penyeludupan dadah pada abad ini,” katanya.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM20.75 juta) kepada mana-mana pemberi maklumat untuk menahan Otoniel yang turut disifatkan sebagai individu paling ditakuti di Colombia.
Otoniel pernah didakwa di AS pada 2009 dan berdepan ekstradisi ke negara berkenaan di mana dia akan dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan New York.
Walaupun Otoniel mengumumkan hasratnya mengadakan perjanjian untuk akur kepada sistem keadilan Colombia pada 2017, kerajaan bagaimanapun mengerahkan 1,000 tentera untuk memburunya.
Baru-baru ini, kumpulan sindiketnya ditumpaskan pihak berkuasa sehingga memaksa Otoniel bersembunyi dalam hutan tanpa sebarang komunikasi.
Otoniel mengambil alih Gulf Clan yang sebelum ini dikenali Usuga Clan daripada abangnya, Juan de Dios yang terbunuh dalam operasi polis pada 2012. – AFP, 24 Oktober, 2021.
Komen