AS minta Korea Utara henti ujian senjata


Utusan Khas AS tentang Korea Utara Sung Kim (kiri) bertemu rakan sejawatnya dari Korea Selatan Noh Kyu-duk (kanan) selepas ujian senjata terbaru dibuat Korea Utara pada Selasa. – Gambar AFP, 24 Oktober, 2021.

AS hari ini meminta Korea Utara untuk menghentikan ujian peluru berpandu “yang tidak produktif”, tetapi meluahkan harapan Pyongyang akan memberi maklum balas positif terhadap jemputan dialog dihulurkan Washington.

Permintaan itu dikeluarkan selepas Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik dasar laut (SLBM) pada Selasa, menyebabkan mesyuarat tergempar diadakan Majlis Keselamatan PBB.

Utusan Khas AS tentang Korea Utara Sung Kim bertemu rakan sejawatnya dari Korea Selatan Noh Kyu-duk selepas pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Jepun di Washington.

Beliau menggelarkan ujian pada Selasa itu sebagai “provokasi” dan mendesak Pyongyang menghentikan ujian peluru berpandu “yang membimbangkan dan tidak produktif”.

“Kami berharap Korea Utara akan memberi maklum balas positif kepada jemputan (dialog) kami,” kata Kim kepada wartawan di Seoul.

Ujian pelancaran Selasa itu adalah yang terbaru dalam siri ujian senjata dibuat negara itu, termasuk peluru berpandu jarak jauh, kereta api melancarkan senjata dan satu lagi jenis senjata yang dianggarkan mempunyai kemampuan hipersonik.

Awal bulan ini, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyalahkan AS kerana sekatan dikenakan ke atas negara itu, menolak dakwaan Washington yang menyifatkan sekatan itu tidak berniat jahat.

Kim sebelum ini pernah tiga kali bertemu bekas presiden Donald Trump, yang berlagak berjaya menghentikan perang tetapi gagal mencapai persetujuan penuh bagi menamatkan program senjata nuklear Korea Utara.

Presiden Joe Biden berjanji akan meneruskan hubungan diplomasi itu dengan pendekatan berbeza. – AFP, 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen