2 kanak-kanak antara 6 maut akibat jerangkap samar


ENAM terbunuh selepas kereta kuda dinaiki mereka terlanggar jerangkap samar dalam satu kejadian di wilayah Casamance, selatan Senegal.

Datuk Bandar Sindian Yankouba Sagna berkata kejadian itu menyebabkan letupan berlaku pada petang Jumaat di Kampung Kandiadiou berhampiran sempadan Gambia.

“Kenderaan terbabit terlanggar jerangkap samar. Ia membawa enam mangsa yang baru pulang dari menunaikan solat Jumaat.

“Jerangkap samar itu sudah lama berada di situ dan apabila hujan, ia akan timbul. Kami sudah beberapa kali meminta pihak terbabit supaya menyahaktifkan jerangkap samar terbabit,” katanya.

Presiden Macky Sall mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa menerusi kenyataan di Twitter.

Jurucakap Kementerian Pendidikan Mohamed Moustapha Diagne berkata dua daripada mangsa masih bersekolah di sekolah rendah.

Casamance antara wilayah terbabit dalam konflik berterusan di mana ribuan nyawa terkorban sejak 1982 dan jerangkap samar berkenaan dipercayai peninggalan perang yang tercetus di wilayah itu. – AFP, 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen