10 duta termasuk Jerman, AS dihalau dari Turki


Beberapa duta di Turki mendesak aktivis kelahiran Parsi, Osman Kavala yang dipenjara tanpa sabitan sejak 2017, dibebaskan. – Gambar AFP, 24 Oktober, 2021.

PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan mengarahkan menteri luarnya mengusir 10 duta termasuk duta Jerman dan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan meminta pembebasan seorang pemimpin awam.

Arahan itu susulan kenyataan bersama dikeluarkan kumpulan duta terbabit yang berkata bahawa penahanan aktivis kelahiran Parsi, Osman Kavala “membayangi” Turki.

“Saya mengarahkan menteri luar mengisytihar 10 duta ini sebagai persona non grata secepat mungkin.

“Mereka perlu meninggalkan negara ini,” katanya yang menuduh mereka sebagai tidak senonoh.

Beberapa negara Eropah berkata tidak menerima sebarang notis berhubung perkara terbabit.

“Kami sedang berunding bersama sembilan lagi negara berhubung perkara ini,” kata Kementerian Luar Jerman.

“Duta kami tidak melakukan sebarang kesalahan yang membawa kepada pengusiran ini,” tegas jurucakap Kementerian Luar Norway Trude Maseide.

Maseide turut berikrar akan terus memberi tekanan kepada Turki berhubung hak asasi manusia dan demokrasi.

AS menuntut penjelasan daripada Kementerian Luar Turki mengenai tindakan terbabit.

Dalam kenyataan bersama pada 18 Oktober lalu, duta Jerman, AS, Kanada, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sweden, Finland dan New Zealand mendesak penyelesaian yang adil dan segera bagi kes Kavala selain pembebasan segera pemimpin itu. Kesemua mereka dipanggil Kementerian Luar yang menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab.

Kavala, 64, dipenjara tanpa sabitan sejak 2017 di atas tuduhan berkaitan rampasan kuasa pada 2016 dan tunjuk perasaan anti kerajaan pada 2013. – AFP, 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen