SEORANG bekas banduan yang mendedahkan rakaman video insiden rogol dan penderaan didakwa berlaku di penjara Rusia, dimasukkan dalam senarai individu paling dikehendaki.
Berdasarkan notis dikeluarkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, Sergei Savelyev seorang warga Belarus dikehendaki berkaitan kes jenayah yang tidak diperincikan.
Savelyev didakwa menyeludup keluar rakaman terbabit dari penjara di Saratov.
Bimbang ditahan semula, beliau meninggalkan Rusia pada Februari dan dikesan tiba di Perancis minggu lalu bagi mendapatkan perlindungan.
Ketika menjalani hukuman selama tujuh tahun enam bulan atas kesalahan menyeludup dadah, dia bekerja sebagai pegawai penyelenggara teknologi maklumat (IT), mendapat akses mudah kepada pelayan perisian penjara, di mana beliau menemui rakaman berkenaan.
Beliau didakwa memuat turun rakaman terbabit dan menyimpannya dalam pemacu USB yang disembunyikan berhampiran pintu keluar penjara.
Rakaman itu kemudiannya disiarkan kumpulan berhaluan kanan, Gulagu.net sehingga menyebabkan siasatan dijalankan dan beberapa pegawai dikenakan tindakan termasuk dipecat.
Dalam rakaman video disiarkan Gulagu.net, Savelyev berkata walaupun kementerian tidak memaklumkan secara khusus kenapa beliau senaraikan sebagai individu paling dikehendaki, ia kemungkinan disebabkan tindakannya mendedahkan rahsia negara.
“Mereka hanya melakukan tindakan yang mereka tahu, iaitu secara paksaan. Pihak berkuasa Rusia cuba menutup mulut saya.” – AFP, 24 Oktober, 2021.
Komen