3,015 kompaun ingkar SOP di Johor


Ayob Khan (dua dari kiri) membuat pemeriksaan di kawasan R&R Machap arah selatan. – Gambar Facebook, 23 Oktober, 2021.

SEBANYAK 3,015 kompaun dikeluarkan pihak berkuasa di Johor atas kesalahan ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), sejak pelaksanaan Fasa 1 hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kompaun itu merangkumi PPN Fasa 1 sebanyak 1,876 kompaun, Fasa 2 (327 kompaun) dan Fasa 3 (812 kompaun).

Beliau berkata, sejak 1 Oktober hingga kini pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 8,838 orang di pusat beli-belah, taman rekreasi (4,400 orang), taman permainan (1,910 orang), tempat perkelahan (1,598 orang) dan tapak perkhemahan (51 orang).

“Daripada jumlah berkenaan seramai 8,665 individu diberikan nasihat manakala 41 daripadanya dikenakan kompaun atas kegagalan mengikut SOP Covid-19.

“Jumlah kompaun berbeza-beza namun pelanggaran SOP di pusat hiburan kita akan memberikan kompaun maksimum,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap arah selatan di Kluang, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan dan pengoperasian di seluruh R&R dan hentian sebelah di lebuh raya bermula 15 Oktober bagi memastikan pematuhan pengguna terhadap SOP.

Menurut beliau, sejumlah 711 pemeriksaan dilakukan di tiga R&R dan lima hentian sebelah arah selatan serta dua R&R dan lima hentian sebelah arah utara di Lebuhraya PLUS selain dua R&R di Lebuhraya Link Kedua.

“Pemantauan ini akan dilakukan polis dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP dipatuhi tanpa gagal,” katanya. – Bernama, 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen