China perluas akses pelaburan asing


Skala penggunaan pelaburan asing di China akan ditingkatkan ke paras tertinggi dunia. – Gambar EPA, 23 Oktober, 2021.

CHINA akan terus memperluas akses terhadap pelaburan asing dalam bidang undang-undang, pengangkutan, kewangan, penyaluran maklumat, pendidikan dan perubatan untuk meningkatkan tahap keterbukaan.

Perkara itu terkandung dalam rancangan pembangunan mengenai penggunaan pelaburan asing di bawah Rancangan Lima Tahun ke-14 pembangunan sosioekonomi yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan China Jumaat lalu.

Dalam tempoh itu juga skala penggunaan pelaburan asing di negara itu akan ditingkatkan ke paras tertinggi dunia, struktur pelaburan asing yang lebih sempurna, pelaburan China ke negara asing, perdagangan luar dan pada masa sama meningkatkan penggunaan domestik.

Menurut unjuran, jumlah penggunaan modal asing dalam kontrak yang terlaksana di China bakal mencatat AS$700 bilion (RM2.9 trilion) menjelang 2025. Antaranya, sebanyak 30% pelaburan asing digunakan dalam industri teknologi canggih.

Menurut rancangan itu, tahap keterbukaan China akan terus dipertingkatkan. Tahap keterbukaan industri pembuatan, perkhidmatan dan pertanian akan diperkasakan bagi mengurangkan senarai negatif akses pasaran firma asing.

Sementara itu, sekatan terhadap kadar pemegangan saham firma asing juga akan dilonggarkan secara beransur-ansur. Firma asing boleh memegang saham dalam lebih banyak sektor di China atau mengelola syarikat sendiri. – Bernama, 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen