PRESIDEN Xi Jinping berkata sepanjang tempoh Rancangan Lima Tahun ke-14 pembangunan sosioekonomi China (2021-2025), China akan memastikan kemajuan dan pembangunan berkualiti di sepanjang lembangan Sungai Kuning di samping melindungi ekologi.
Namun katanya, langkah itu memerlukan usaha yang gigih untuk memastikan Sungai Kuning sentiasa memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat negara itu.
“China akan mempergiat pembangunan sistem bersepadu bagi mencegah banjir dan mengurangkan bencana, menetapkan tindak balas kecemasan pencegahan banjir dan kemarau serta menjamin keselamatan sepanjang tebing sungai.
“Sejak 2012, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan hijau, mengintensifkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan gunung, sungai, hutan, ladang pertanian, tasik dan rumput serta mengawal pasir, sehingga mencapai kemajuan ketara dalam pembangunan tamadun ekologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada simposium di bandar Jinan, wilayah Shandong di timur China pada Jumaat.
Selain itu, Xi berkata, China merancang mewujudkan Taman Negara Sungai Kuning yang menjadi komponen penting bagi usaha perlindungan ekologi di Delta Sungai Kuning.
“China akan mengutamakan perlindungan ekologi dan pembangunan hijau dalam proses memperjuangkan matlamat 100 tahun kedua,” katanya.
Sungai Kuning sepanjang 5,464 kilometer juga dikenali sebagai sungai besar, terletak di bahagian utara China. Sungai itu dianggap sebagai tapak asal usul tamadun China dan digelar “sungai ibunda” oleh masyarakat China. – Bernama, 23 Oktober, 2021.
Komen