Protes haram parti politik Pakistan bertukar ganas, 7 terbunuh


5 anggota parti politik yang diharamkan di Pakistan dan 2 anggota polis dipercayai terbunuh dalam protes bertukar ganas di Lahore. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2021.

SEBUAH parti radikal Islam hari ini berkata lime penyokongnya terbunuh dalam rusuhan dengan pihak berkuasa di Lahore, Pakistan selepas dua anggota polis turut terbunuh dalam kekecohan itu.

Pada Jumaat lebih 1,000 ahli Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP) berhimpun, selepas solat jemaah menuntut pembebasan pemimpin mereka yang ditahan. Penunjuk perasaan turut menyekat jalan raya dan melempar objek.

Protes berterusan sehingga Sabtu.

TLP adalah dalang utama protes anti Perancis awal tahun ini yang menyebabkan kedutaan mengeluarkan amaran meminta semua rakyat Perancis meninggalkan Pakistan.

“Tehreek-e-Labbaik Pakistan kehilangan dua orang pada malam Jumaat dan tiga lagi hari ini kerana ditembak polis,” kata parti itu menerusi akaun Twitternya.

Polis Lahore tidak menjawab dakwaan itu, tetapi pada malam Jumaat berkata dua anggotanya terbunuh.

“Rusuhan masih berlaku,” kata Rana Arif, jurucakap polis Lahore kepada AFP.

“Ini adalah operasi pertahanan dibuat polis terhadap perusuh, kami hanya mengepung bagi mengawal khalayak.”

Pemimpin TLP Saad Rizvi ditahan pada April selepas kerajaan Pakistan mengharamkan parti itu disebabkan keganasan dibuat mereka dalam protes anti Perancis.

Penyokong mengugut untuk berarak ke Islamabad, polis sudah menutup jalan utama ke ibu kota menggunakan kontena kapal.

Parti itu berikrar tidak akan menghentikan protes atau berunding dengan kerajaan sehingga pemimpin mereka dibebaskan.

Menteri Dalam Negeri Sheikh Rashid Ahmad yang berada di Dubai bagi menonton Piala Dunia Kriket T20 yang disertai Pakistan, telah diarah pulang oleh Perdana Menteri Imran Khan bagi memantau situasi itu.

TLP melancarkan kempen anti Perancis sejak Presiden Emmanuel Macron mempertahankan hak majalah satira untuk menerbitkan semula kartun menggambarkan Nabi Muhamad- tindakan yang dianggap sebagai menghina Islam oleh penganutnya.

Enam anggota polis terbunuh pada April lepas apabila TLP mengadakan protes sehingga menutup jalan raya.

Isu berkaitan Islam boleh mendatangkan rusuhan dan ketidakstabilan di Pakistan. – AFP, 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen