Biden tangguh dedah fail sulit pembunuhan Kennedy


Pembunuhan Presiden AS John F Kennedy terus menjadi bualan ramai dan titik sejarah hitam negara itu. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2021.

WHITE House pada Jumaat berkata ia akan menangguhkan pelepasan dokumen sulit berkaitan pembunuhan Presiden AS John F. Kennedy.

Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan menulis yang baki dokumen “patut disekat daripada pendedahan penuh awam” sehingga 15 Disember tahun hadapan, hampir 60 tahun selepas Kennedy dibunuh di Dallas, Texas pada 1963.

Pada 2018, bekas presiden Donald Trump melepaskan beberapa ribu fail sulit tentang pembunuhan itu, tetapi menyekat beberapa yang lain atas faktor keselamatan negara.

White House berkata arkib negara memerlukan lebih masa untuk menyemak semula dokumen itu, yang dilewatkan kerana pandemik.

Biden juga berkata pengangguhan itu “perlu untuk melindungi sebarangan kesan buruk kepada pertahanan, operasi risikan, penguatkuasaan atau hubungan asing” dan semua perkara ini “melebihi kepentingan awam untuk pendedahan serta merta”.

Pembunuhan presiden berusia 46 tahun itu adalah “tragedi buruk negara” yang “terus bergema dalam sejarah Amerika dan memori ramai warga Amerika yang hidup ketika hari malang itu,” kata kenyataan.

Siasatan selama 10 bulan diketuai Ketua Hakim Mahkamah Agung ketika itu Earl Warren menyimpulkan yang Lee Harvey Oswald, bekas tentera laut yang pernah tinggal di Kesatuan Soviet bertindak sendiri ketika menembak ke arah kenderaan dinaiki Kennedy.

Tetapi siasatan itu dikecam kerana didakwa tidak lengkap, dengan siasatan lanjut Jawatankuasa Kongres kemudiannya menyimpulkan yang Kennedy “mungkin dibunuh kerana konspirasi”.

Undang-undang AS menghendaki semua rekod kerajaan berkaitan pembunuhan itu didedahkan kepada awam bagi memastikan rakyat mendapat maklumat secukupnya. – AFP, 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen