Antara korupsi dan nama wiski


Haris Hauzah

SEMUA tahu betapa bahayanya korupsi kepada rakyat di sesebuah negara. Namun mengapa jenayah sejijik penyalahgunaan wang dan kuasa yang melibatkan rasuah, sogokan dan pengubahan wang haram dalam kalangan penguasa tetap juga berleluasa?

Meresahkan apabila melihat satu dua tokoh besar politik negara semacam diberikan layanan istimewa ketika sedang berhadapan dengan puluhan pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah.

Keistimewaan luar duga itu malah turut diberikan kepada yang disabitkan kesalahan daripada jenayah rasuah yang dilakukan.

Entah bagaimana seorang yang dituduh dan masih mengikuti prosiding kes, dalam masa sama mempunyai puluhan kes lain yang sedang menunggu hari pertuduhan, boleh dipulangkan pasport dan dibenarkan pula bebas ke luar negara. 

Apa pun alasannya, hal ini pasti mencederakan persepsi awam terhadap keluhuran seluruh sistem kehakiman Malaysia. 

Bagaimana penjelasan berkenaan “keistimewaan-keistimewaan” seperti menunda dan menangguh kes korupsi dalam kalangan penguasa politik atas sebab yang bukan-bukan dapat diperjelaskan – sedangkan tokoh politik besar negara yang diberi kebenaran keluar negara itu malah memiliki tunggakan cukai berbilion ringgit dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Baru-baru ini usul berkenaan “Pandora Papers” yang dibawa ketua pembangkang di Dewan Rakyat ditolak mentah.

Alasan teknikal speaker sebetulnya mencerminkan ketidaksungguhan Parlimen dalam memberikan komitmen sewajarnya ke atas isu ini.

Hal itu patut dilihat sebagai suatu insiden pilu yang paling memalukan. Parlimen seharusnya mempunyai integriti dan wibawa sendiri dalam membawa serta menghujahkan bermacam pendedahan bersama penjelasan. 

Inilah kekurangan yang ada dalam banyak institusi tertinggi negara.

Sangat tidak wajar institusi tertinggi seperti Parlimen, yang mana telah dipertanggungjawabkan fungsi dan peranannya oleh rakyat kepada speaker dan wakil-wakil rakyat, sebaliknya berlagak “sombong” merasakan pendedahan “Pandora Papers” itu sebagai suatu hal kecil dan remeh hingga boleh ditolak dan ketepikan begitu saja. 

Hal seperti itu wajar dibincangkan di Parlimen. Paling tidak, Parlimen akan menunjukkan tanda aras betapa bencinya negara skandal seumpama itu apabila persoalan kepentingan awam berkenaan apa, mengapa dan bagaimana kerja jahat pengelakan cukai atau simpanan kekayaan di luar pesisir oleh rakyat Malaysia dibincang serius.

Walaupun pihak SPRM dan polis menyatakan komitmen untuk menyiasat, namun apa yang diulas perdana menteri masih lemah dan belum mencukupi.

Kata perdana menteri: “Dalam negara kita ini terbuka, kalau didapati ada kes terhadap sesiapa pun, dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan. Kita terbuka serah kepada pihak berkuasa lah. Pihak berkuasa baca semua, SPRM baca semua baca berita yang dikeluarkan. Berdasarkan itu, terserah kepada pihak berkuasa, kita tidak menyekat tindakan daripada pihak berkuasa kepada sesiapa, tetapi mesti ada bukti. Kalau tak ada bukti, tak bolehlah.”

Ketua pembangkang – yang mengaitkan laporan Global Financial Intergrity Report (2012), Panama Papers (2015) dan Pandora Papers (2021) dan menyifatkannya sebagai “rompakan” wang yang dibawa keluar secara haram – berkata tidak sempurna sekiranya ia masih enggan dibincangkan oleh Parlimen.

Sebagaimana penekanan yang dijelaskan oleh ketua pembangkang, hal yang lebih perlu diambil berat adalah kebanyakan pendedahan itu melibatkan pembesar, menteri dan pemimpin negara yang tidak ketahuan bagaimana mereka dapat mengumpul wang yang begitu banyak di luar negara.

Harus diingat indeks persepsi rasuah Malaysia yang terbaru menunjukkan Malaysia jatuh enam tangga.

Prestasi Malaysia yang hanya mencatatkan peningkatan semenjak 2018 ekoran agenda reformasi institusi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dijatuhkan kini dilihat semakin memburuk.

Oleh itu, amat penting bagi institusi tertinggi seperti kehakiman dan Parlimen termasuk perdana menteri sendiri mengetahui. 

Pembaikan melalui pengukuhan intergriti dan pemulihan ketelusan institusi ini perlu menjadi keutamaan. Bahkan ia boleh menjadi satu inisiatif kerjasama rentas parti demi mentransformasikan institusi bagi menjunjung slogan intergriti dan ketelusan kerajaan.

Apa yang ditunjukkan melalui indeks persepsi rasuah (CPI) oleh Transparency-International (TI) adalah krisis integriti, malapetaka korupsi dan pengabaian ketelusan institusi yang bakal mengundang bahaya yang lebih besar.

Semenjak kerajaan PH dijatuhkan, Malaysia dilihat tidak pernah bersungguh-sungguh dalam menangani isu-isu seumpama ini.

Ia tambah buruk lagi apabila janji bagi membentangkan rang undang-undang (RUU) pembiayaan politik dan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) terhenti.

Malah sikap institusi kehakiman yang telah mencipta beberapa persepsi negatif seperti membebas atau menggugurkan pertuduhan terhadap beberapa kes rasuah berprofil tinggi jelas meninggalkan kesan buruk kepada institusi.

Sudah tiba masanya ada peruntukan undang-undang yang memaksa ahli politik yang tersabit dan didapati bersalah atau yang sedang menunggu rayuan kes untuk mengosongkan kerusi dan kedudukannya dalam politik. 

Kerajaan juga seharusnya lebih telus dalam mengurus segala maklumat perolehan kerajaan.

Keengganan kerajaan mendedahkan perbelanjaan dan proses tatacara kelola vaksin Covid-19 serta kegagalan mengumumkan jumlah pampasan kepada Singapura akibat pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) tidak seharusnya dibiar berterusan.

Penerusan sikap serta pendirian kerajaan yang lemah dan samar itu hanya meletakkan negara dalam kedudukan indeks persepsi rasuah (CPI) yang lebih teruk sekaligus memberi kesan kepada ekonomi, pelaburan dan perniagaan. 

Bahkan akan ada yang lebih buruk dari itu boleh berlaku jika seluruh institusi tertinggi ini tidak lagi diletakkan kepercayaan oleh rakyat. 

Oleh kerana itulah menangani korupsi lebih penting daripada melayan hal wiski. – 23 Oktober, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen