SEORANG pemimpin kanan al-Qaeda terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Syria, kata Pentagon pada Jumaat.
Serangan itu berlaku dua hari selepas sebuah markas di selatan Syria, yang digunakan oleh gabungan pimpinan AS memerangi kumpulan militan Isis diserang.
“Serangan udara AS hari ini di barat laut Syria membunuh pemimpin kanan al-Qaeda Abdul Hamid al-Matar,” kata jurucakap Komando Pusat Tentera Darat Mejar John Rigsbee dalam satu kenyataan.
Tiada korban jiwa diketahui susulan serangan itu, katanya, sambil menambah ia dilakukan menggunakan pesawat MQ-9.
“Kematian pemimpin kanan al-Qaeda ini akan mengganggu keupayaan organisasi pengganas untuk terus merancang dan melakukan serangan global,” katanya.
Pada akhir September, Pentagon membunuh Salim Abu-Ahmad, seorang lagi komander kanan Al-Qaeda di Syria, dalam serangan udara berhampiran Idlib di barat laut negara itu.
Beliau bertanggungjawab “merancang, membiayai, dan meluluskan serangan Al-Qaeda rentas wilayah,” menurut Centcom.
“Al-Qaeda terus memberikan ancaman kepada Amerika dan sekutu kami. Al-Qaeda menggunakan Syria sebagai tempat selamat untuk membina semula, menyelaraskan dengan sekutu luar, dan merancang operasi luar,” kata Rigsbee.
Perang di Syria mewujudkan medan perang kompleks yang melibatkan tentera asing dan militan.
Perang membunuh kira-kira setengah juta orang sejak bermula pada 2011 dengan tindakan keras terhadap protes anti-kerajaan. – AFP, 23 Oktober, 2021.
Komen