SPRM jejas usaha perangi rasuah kerana ramai pegawai terlibat, kata pemerhati


USAHA Malaysia perangi rasuah semakin terjejas oleh agensi anti rasuah itu sendiri, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang merujuk kepada beberapa kes rasuah melibatkan pegawai berkenaan. 

C4 berkata perlu ada siasatan bebas terhadap beberapa kejadian yang mana beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit atau didakwa dalam kes rasuah. 

“Usaha memerangi rasuah kini dibelenggu oleh penglibatan berterusan kakitangan Suruhanjaya dan, sudah tentu, tidak boleh diserahkan kepada siasatan dalaman untuk menyelesaikannya,” kata C4 dalam satu kenyataan.

Menurut C4 rentetan peristiwa baru-baru ini menunjukkan SPRM sendiri bersubahat dengan kumpulan kongsi gelap dan mengambil bahagian dalam aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Apabila institusi ‘bebas’ yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah kewangan adalah antara yang didapati terlibat dalam kegiatan jenayah berat yang boleh dihukum oleh undang-undang negara, ini menandakan sistem yang serius dan tidak berfungsi yang dihadapi negara hari ini.”

C4 turut menggesa beberapa pembaharuan yang menyaksikan kebebasan dan autonomi dikembalikan kepada SPRM.

Ia mahu siasatan bebas ditubuhkan di luar SPRM dan PDRM, bagi membolehkan Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) mengetuai siasatan terhadap pegawai SPRM yang korup, mempercepatkan siasatan dan pendakwaan serta menstruktur semula SPRM untuk memulihkan kebebasannya.

Ia juga mahu lembaga penasihat SPRM memastikan kepimpinannya bertanggungjawab dan bekerjasama dalam siasatan bebas.

“Ambil langkah yang betul untuk memperbaiki keadaan sekarang sebelum negara kita meluncur lebih jauh ke lembah kehancuran.”

Pada Mei lalu, dua anggota SPRM ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disyaki terlibat dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan. 

Pada 20 Oktober, SPRM menahan tiga pegawai kanannya atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana melibatkan AS$6 juta yang dikaitkan dengan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abd Hamid.

Awal minggu ini, dua pegawai SPRM didakwa di mahkamah sesyen Johor Bahru kerana menipu melibatkan RM40,000 untuk ‘selesaikan’ kes. Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 November. – 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen