Pemilik restoran harap perniagaan pulih seperti sebelum Covid-19


Elill Easwaran

Peningkatan jualan restoran dan kedai makan naik 70% selepas kerajaan benarkan makan di kedai kepada pelanggan yang sudah mendapat vaksin lengkap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2021.

KELONGGARAN sekatan Covid-19, termasuk membenarkan makan di kedai kepada mereka yang sudah mendapat vaksin lengkap, datang pada masa yang tepat bagi pengusaha restoran.

Mereka berkata lanjutan penutupan perniagaan atau hanya bergantung pada perkhidmatan bungkus akan menyebabkan sebahagian besar daripada mereka gulung tikar.

Kini dengan pemansuhan sekatan ketat, mereka memberitahu The Malaysian Insight yang perniagaan meningkat sekurang-kurangnya 70% berbanding ketika hanya dibenarkan menjual makanan secara bungkus.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) J Suresh berkata kedai makan menyaksikan peningkatan pelanggan yang berterusan.

“Saya rasa keadaan akan kembali seperti sebelum Covid-19 apabila semua orang diberi vaksin,” katanya.

Sebelum makan di kedai dibenarkan, mereka hanya memperoleh sekitar 20% hingga 30% hasil jualan daripada kebiasaan, katanya.

“Ketika itu, kebanyakan pemilik bergelut untuk membayar sewa dan juga gaji pekerja.

“Syukurlah sekarang dengan makan di kedai dibenarkan, perniagaan bertambah baik,” katanya sambil menambah Primas mempunyai 2,000 ahli di seluruh negara.

Suresh berkata kebanyakan pemilik restoran tidak memperoleh untung yang banyak tetapi cukup untuk membayar sewa dan gaji pekerja.

Beliau berkata hasil jualan harian mereka akan jauh lebih baik jika waktu perniagaan dipanjangkan tetapi bersetuju kebanyakan kedai makan berdepan masalah tenaga kerja.

“Walaupun restoran dibenarkan beroperasi hingga tengah malam, beberapa restoran masih ditutup lebih awal kerana kekurangan tenaga kerja.

“Isu tenaga kerja juga menyebabkan beberapa kedai menutup perniagaan mereka buat sementara waktu,” katanya.

Di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), restoran dan kedai makan dibenarkan bulan lalu beroperasi dari jam 6 pagi hingga tengah malam, kecuali kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan.

Mulai minggu ini, semua negeri dan wilayah berada dalam Fasa 3 atau 4 PPN.

Ini juga membolehkan kerajaan membenarkan kawasan rehat di lebuh raya beroperasi 24 jam sehari, selain membenarkan perjalanan rentas negeri dan menggalakkan pelancongan tempatan. – 23 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen