Aliran lumpur gunung berapi ancam penduduk dekat Gunung Mayon


Penduduk Filipina menyeberang sungai susulan banjir kilat di cerun gunung berapi Mayon di bandar Daraga, wilayah Albay, Filipina semalam. Pegawai memberi amaran mengenai tanah runtuh kerana hujan lebat mungkin menyebabkan aliran lumpur gunung berapi. – Gambar EPA, 27 Januari, 2018.

JUTAAN tan abu dan batu daripada gunung berapi Filipina yang meletus mampu menenggelamkan pendudukan berhampiran kawasan itu kerana hujan lebat, kata pihak berkuasa hari ini, ketika puluhan ribu lari menyelamatkan diri disebabkan kebimbangan dengan letusan maut.

Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina(Phivolcs) Filipina mengeluarkan amaran ketika hujan lebat melanda persekitaran gunung berapi Mayon, yang mengeluarkan lava dan awan abu panas yang besar selama seminggu.

Air hujan boleh bergabung dengan abu gunung berapi dan batu untuk membentuk lumpur yang mengalir deras - dipanggil “lahars” - yang boleh menghanyutkan seluruh penempatan, kata pihak berkuasa.

“Sekiranya terdapat abu yang turun dan hujan lebat, ia boleh menjadi lahar,” kata ketua Phivolcs Renato Solidum kepada AFP.

“Paling penting adalah berpindah sekiranya berlaku hujan lebat ... ini langkah berjaga-jaga.”

Ia memberi amaran ini boleh menyebabkan lahar mengalir ke laluan air dan menyeru pegawai memindahkan penduduk berhampiran sungai ke tempat lebih tinggi.

Letusan pada Ogos 2006 pula walaupun tidak membunuh sesiapa secara langsung, tetapi abu gunung berapi itu yang dibawa taufan membunuh lebih 1,000 nyawa.

Phivolcs berkata Mayon mengeluarkan air pancut lava semalam tetapi cuaca buruk menghalang pemantauan aktiviti gunung berapi hari ini.

Aliran lumpur gunung berapi menjadi masalah semasa dan selepas letusan gunung berapi di Filipina, yang terletak di “Lingkaran Api” – pulau-pulau di Pasifik yang terbentuk oleh aktiviti gunung berapi.

Mayon kali terakhir mengalirkan laharnya pada 2014 memaksa 63,000 orang meninggalkan kediaman mereka.

Mayon setinggi 2,460 meter mempunyai sejarah letusan terburuk di negara itu.

Gunung Mayon, yang terletak kira-kira 330km tenggara ibu kota Manila, adalah yang paling aktif di 22 gunung berapi di negara itu – dan salah satu yang paling dahsyat.

Empat pelancong asing dan pemandu pelancong tempatan terbunuh apabila kali terakhir ia meletus pada Mei 2013.

Pada 1814, lebih 1,200 orang terbunuh apabila lahar menenggalamkan bandar Cagsawa. – AFP, 27 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen