Penyanyi rap Sweden ditembak mati


Gambar fail penyanyi rap Sweeden Einar, 19. Mangsa ditembak mati semalam di luar sebuah pangsapuri di Stockholm. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2021.

SEORANG penanyi rap Sweden, Einar yang pernah memenangi beberapa anugerah dan mengungguli carta di negara Scandinavia itu, ditembak mati di Stockholm, kata polis dan media.

Einar, 19, yang menyanyi dalam bahasa Sweden, adalah artis paling popular menerusi aplikasi Spotify di negaranya pada 2019.

Mangsa ditembak beberapa kali di luar sebuah pangsapuri kira-kira 11 malam. Paramedik yang tiba bersama ambulans cuba memberikan bantuan, tetapi beliau meninggal dunia di tempat kejadian, kata jurucakap polis Towe Hagg.

“Kami sedang menyiasat kes ini,” katanya.

Polis belum mengesahkan identiti mangsa, tetapi media tempatan Sweden mengenal pasti mangsa sebagai Einar yang nama sebenarnya ialah Nils Kurt Erik Einar Gronberg.

Kebanyakan lagu Einar berkisar tentang kehidupan jenayah termasuk dadah dan senjata api. Beliau secara terbuka berbalah dengan artis saingannya Yasin, yang dipenjarakan 10 bulan pada Julai susulan terbabit dalam penculikan Einar.

Einar mula memuat naik lagu ke media sosial beberapa tahun lalu sebelum berjaya mengumpul peminat pada 2019 selepas melancarkan lagu bertajuk “Katten i trakten” yang berada di tangga pertama carta lagu di Sweden.

Beliau memenangi beberapa anugerah muzik termasuk Grammy Sweden.

Sweden sejak beberapa tahun ini bergelut dalam memerangi insiden tembakan yang semakin banyak, selain bom dilakukan geng dan kumpulan jenayah terancang. – AFP, 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen