JUNTA Myanmar menahan semula lebih 100 penunjuk perasaan anti kudeta yang dibebaskan dalam pengampunan baru-baru ini, kata sebuah kumpulan pemantau tempatan.
Myanmar berada dalam pergolakan sejak rampasan kuasa Februari lalu dengan lebih 1,100 terbunuh dalam tindakan keras dan lebih 8,000 ditahan, menurut Pertubuhan Bantuan Tawanan Politik (AAPP).
Pada Isnin, tentera mengumumkan akan membebaskan lebih 5,000 individu sempena festival Buddha Thadingyut yang berlangsung selama tiga hari.
Jumlah sebenar mereka yang dibebaskan di seluruh negara sukar untuk disahkan, dan banyak yang dibebaskan hanya selepas menandatangani dokumen, berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.
Sekurang-kurangnya 110 daripada mereka yang diberikan pengampunan ditahan semula, kata AAPP.
“Sebilangan ditahan semula sebaik tiba di rumah,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Beberapa yang lain diberitahu mereka berada dalam senarai yang dibebaskan, dibawa ke pintu masuk penjara, hanya untuk dibawa kembali ke penjara bagi menghadapi tuduhan tambahan.”
Pihak berkuasa Myanmar membebaskan lebih 2,000 penunjuk perasaan anti kudeta dari penjara di seluruh negara pada Jun lalu termasuk wartawan yang mengkritik pemerintahan tentera.
Mereka yang masih dalam tahanan termasuk wartawan Amerika Syarikat (AS) Danny Fenster yang dipenjarakan sejak ditahan pada 24 Mei.
Minggu lalu, Asean memutuskan untuk mengecualikan pemimpin junta Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak blok 10 negara yang akan datang kerana keraguan mengenai komitmennya dalam meredakan krisis berdarah.
Kaunselor Jabatan Negara AS Derek Chollet berkata AS menyambut baik langkah yang jarang dilakukan Asean, pakatan yang sekian lama dikritik sebagai tidak bertaring.
Chollet kini dalam lawatan ke wilayah itu untuk berunding dengan sekutu AS berkenaan kaedah lebih terperinci dalam memberi tekanan kepada junta. – AFP, 22 Oktober, 2021.
Komen