SPRM tahan pemandu jabatan kerajaan terlibat rasuah


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah menahan reman seorang pemandu kenderaan jabatan kerajaan selama lima hari kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan berjumlah lebih RM10,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor ketika hadir memberikan keterangan.

“Suspek yang bertugas sebagai pemandu kenderaan di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur meminta dan menerima wang suapan lebih RM10,000.

“Wang suapan itu diterima daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan kepada syarikat berkenaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Kata Alias, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen