WHO anggar 80,000 hingga 180,000 petugas kesihatan maut akibat Covid-19


Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pekerja penjagaan kesihatan perlu menjadi antara yang pertama diimunisasi terhadap Covid-19. – Gambar AFP, 22 Oktober, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berkata 80,000 hingga 180,000 petugas penjagaan kesihatan mungkin meninggal dunia kerana Covid-19 hingga Mei tahun ini, dengan menegaskan mereka perlu diutamakan untuk mendapatkan vaksinasi.

WHO berkata hakikat yang jutaan pekerja kesihatan tetap tidak divaksinasi adalah “indikmen” terhadap negara dan syarikat yang mengawal bekalan dos global.

Makalah WHO menganggarkan daripada 135 juta kakitangan kesihatan di seluruh dunia, “antara 80,000 hingga 180,000 pekerja kesihatan dan penjagaan mungkin meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh antara Januari 2020 hingga Mei 2021”.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pekerja penjagaan kesihatan perlu menjadi antara yang pertama diimunisasi terhadap penyakit ini, ketika mengecam ketidaksamaan global dalam pemberian vaksin.

“Data dari 119 negara menunjukkan purata, dua per lima pekerja kesihatan dan rawatan di seluruh dunia diberi vaksin lengkap. Tetapi tentu saja, purata itu menutup perbezaan besar,” katanya.

“Di Afrika, kurang satu dari 10 pekerja kesihatan divaksinasi sepenuhnya. Sementara itu, di kebanyakan negara berpendapatan tinggi, lebih 80% pekerja kesihatan diberi vaksin lengkap.”

Beliau berkata: “Kami menyeru semua negara untuk memastikan seluruh pekerja kesihatan dan rawatan di setiap negara diutamakan dalam pemberian vaksin Covid-19, bersama kumpulan lain yang berisiko.”

WHO mahu setiap negara memvaksinasi 40% penduduknya pada akhir tahun ini, tetapi Tedros berkata 82 negara berisiko tidak sasaran itu, terutama kerana bekalan tidak mencukupi.

Di negara berpendapatan tinggi, seperti yang dikategorikan oleh Bank Dunia, 133 dos diberikan bagi setiap 100 orang. Di 29 negara berpendapatan rendah, angka itu menurun kepada lima.

Koronavirus meragut nyawa sekurang-kurangnya 4.9 juta orang sejak wabak itu muncul di China pada Disember 2019, menurut sumber rasmi yang disusun oleh AFP, sementara hampir 242 juta kes didaftarkan. – AFP, 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen