71.8% populasi terima vaksinasi lengkap, lapor KKM


Ravin Palanisamy

Sebanyak 235,607 suntikan vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

SEBANYAK 23,451,810 atau 71.8% penduduk di negara ini sudah divaksin lengkap terhadap Covid-19, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut laman web kementerian CovidNow, sejumlah 235,607 suntikan vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Daripada jumlah suntikan yang dilakukan semalam, 30,198 daripadanya adalah dos pertama sementara 186,362 individu menyelesaikan dos kedua mereka. Angka itu juga merangkumi 19,047 suntikan dos penggalak.

Negara kini sudah memberikan 48.67 juta vaksin Covid-19 sejak program bermula pada 24 Februari.

Sementara itu, data menunjukkan 80.2% remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sudah menerima satu dos vaksin Covid-19, sementara 43.4% daripadanya sudah mendapat vaksin lengkap.

Bagi populasi dewasa, 94.3% sudah menerima vaksin lengkap.

Laman web CovidNow mengunjurkan 80% populasi umum akan diberi vaksin lengkap pada 16 Disember, yang tinggal 55 hari lagi.

Lembah Klang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi, dengan 86.4% dan 114.7% populasi dewasa sudah mendapat suntikan vaksin.

Apabila sesuatu kawasan mencatatkan kadar vaksinasi lebih 100%, ia bermakna perubahan saiz populasi belum diambil kira oleh Jabatan Statistik sejak bancian terakhir dilakukan. Ini juga merangkumi penduduk tanpa dokumen.

Kelantan mempunyai kadar vaksinasi terendah secara keseluruhannya. Hanya 55.3% daripada populasinya yang divaksin. – 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen