Thailand benar pengembara 46 negara lengkap vaksinasi masuk mulai 1 November


Mulai 1 November pengembara lengkap dua dos vaksin Covid-19 dari 46 negara dibenar masuk Thailand tanpa perlu menjalani kuarantin.– Gambar EPA, 22 Oktober, 2021.

MULAI 1 November pengembara lengkap dua dos vaksin Covid-19 dari 46 negara dibenar masuk Thailand tanpa perlu menjalani kuarantin, umum Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha semalam.

Jumlah itu berbanding 10 negara yang diumumkan Prayut minggu lepas, semasa beliau mengumumkan rancangan kerajaan untuk membuka semula sempadan bulan depan.

Pertambahan senarai negara berkenaan perlu untuk merangsang sektor pelancongan Thailand dan sektor lain, kata perdana menteri itu di Facebook.

“Kita perlu bergerak lebih pantas dan lalukannya sekarang. 

“Terlalu lambat untuk tunggu semuanya sempurna,” tulisnya.

Selain Amerika Syarikat, Britain dan China, pelancong yang lengkap vaksinasi dari beberapa negara Eropah termasuk Perancis dan Jerman akan dibenarkan masuk, tetapi ujian Covid-19 mereka mesti negatif sebelum berlepas.

Kemboja dan Malaysia juga berada dalam negara berisiko rendah, selain Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sebaik tiba di Thailand, pengembara perlu sekali lagi mengambil ujian Covid-19 dan menginap satu malam di hotel yang diluluskan kerajaan sementara menunggu keputusan. 

“Kami tahu ini langkah ini drastik dan akan meningkatkan jangkitan, tetapi ini adalah risiko yang harus diterima,” tambah Prayut.

Thailand menerima 40 juta pelancong setiap tahun, dan s20% pendapatan negara itu disumbangkan oleh sektor pelancongan.

Bagaimanapun pendapatan Thailand dari sektor itu susut kira-kira AS$50 bilion susulan  kemasukan pelancong asing merosot 83% kepada 6.7 juta akibat pandemik Covid-19. – AFP, 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen