Konsep ‘Keluarga Malaysia’ Ismail Sabri patut diberi peluang, kata Kit Siang


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu diberikan peluang membuktikan dirinya menerusi pendekatan Keluarga Malaysia yang dibawanya, kata veteran DAP Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi peluang membuktikan dirinya berikutan pendekatan “Keluarga Malaysia” diperkenalkannya adalah perubahan daripada naratif satu bangsa domminan di negara ini sejak berdekad lalu, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

“Walaupun, beliau pernah menuduh DAP anti Melayu dan menggunakan retorik kebencian dalam ucapannya dulu, saya tidak berdendam dengannya.

“Saya percaya setiap pemimpin politik patut diberi peluang untuk berubah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata konsep “Keluarga Malaysia” walaupun hanya sebuah slogan, ia sangat berbeza daripada pendekatan satu kaum yang diguna pakai Barisan Nasional selama enam dekad ketika memerintah negara ini.

“Dan kita perlu beri peluang beliau peluang untuk menyampaikannya kerana ia lebih menyeluruh, pendekatan yang berfikiran Malaysia.

“Kalau tidak, jika kita mengambil kedudukan kaum dan bangsa tunggal, ia akan bercanggah dengan Keluarga Malaysia. Saya gembira dengan mesej ini yang kita beralih ke hala tuju itu.

“Biarkan beliau buktikan walaupun ini bukan tugas mudah. Ini cabaran untuk beliau dan Malaysia,” kata Lim, 80.

Lim mengulas berkenaan perkembangan terbaru politik, kali pertama sejak keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga bercakap sempena pelancaran biografi baharu oleh pelakon, pengarang dan wartawan veteran Kee Thuan Chye. Biografi itu bertajuk “Lim Kit Siang - Malaysian First (Vol 1: None but the bold)” dan akan berada di pasaran 25 Oktober ini sementara pelancarannya pada 9 November.

Biografi itu yang menjejaki kehidupan Lim, merakamkan lima dekadnya dalam politik bermula daripada akitivisme pelajar hinggalah kepada ahli Parlimen paling lama berkhidmat dan paling aktif.

Najib Razak juga cuba menggunakan cara hampir sama untuk menjadi inklusif menerusi slogan dan jenama “1Malaysia” ketika beliau perdana menteri pada 2009, namun Lim berkata Malaysia perlu melihat punca kenapa ia gagal dan berada di belakang negara lain di rantau ini.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata beliau tidak berdendam dengan Ismail Sabri Yaakob walaupun perdana menteri itu sebelum ini pernah menuduh DAP anti Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

“Ini masanya untuk menyemak semula mengapa kita berada di belakang walaupun selepas enam dekad membina negara. Dan ini termasuk kepada mengkaji isu sensitif.

“Apa yang penting bukan seorang individu, kaum atau agama tetapi negara secara keseluruhan. Jika negara merana, semua orang merana.

“Covid-19 adalah contoh terbaik di mana semua orang tanpa mengira kaum, agama atua status ekonomi semua terkesan. Pandemik tidak membezakan sama ada anda Melayu, Cina atau India, atau sama ada anda Kristian atau Muslim, orang Sabah atau Sarawak,” katanya.

Lim turut bercakap tentang bagaimana situasi politik semasa dengan Ismail Sabri memimpin kerajaan menandakan era baharu, di mana tiada parti akan jadi dominan dan pesaing akan memaksa mereka untuk bekerja bersama.

Ketika ditanya adakah Ismail Sabri punca mengapa PH bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan, Lim berkata: “Tidak.”

Pendahulu Ismail Sabri, Muhyiddin Yassin turut menawarkan MoU hampir sama (atau persetujuan keyakinan dan perbekalan), tetapi Lim berkata PH tidak dapat menerima tawaran dibuat Muhyiddin ketika saat akhir masih menjadi perdana menteri.

“Tidak cukup masa untuk jual idea itu kepada penyokong dan pemimpin. Tawaran itu dibuat beberapa hari sebelum beliau perlu membuktikan majoritinya.”

Bagi Lim, PH tidak menolak tawaran Muhyiddin kerana bengang dengan Langkah Sheraton tahun lalu ketika pemimpin Bersatu itu menarik keluar parti dan menyebabkan sekumpulan ahli Parlimen PKR belot, mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH.

“Jika anda fikir tentang itu, Ismail Sabri juga sebahagian daripada Langkah Sheraton, jadi tidak ada beza.

“Dengan Muhyiddin, masa yang tidak cukup,” kata Lim.

Selepas pilihan raya umum (PRU) 2018, PH dan Warisan Sabah menubuhkan kerajaan dengan 121 ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 ahli.

Selepas berlaku lompat parti, kerajaan PH berkembang kepada 136 ahli Parlimen tetapi tetap digulingkan apabila Bersatu menarik keluar dan wakil rakyat PKR keluar parti pada Februari 2020.

Bagaimanapubm kerajaan baharu Perikatan Nasional di bawah teraju Muhyiddin hanya mempunyai 114 ahli Parlimen. Selepas setahun bergolak dengan sekutunya Umno, beliau meletak jawatan pada Ogos 2021 selepas 14 ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepadanya.

Ismail Sabri yang baru dilantik sebagai perdana menteri, juga mempunyai 114 ahli Parlimen, menandatangani MoU dengan PH untuk menstabilkan kerajaan, dan sebagai pertukaran berjanji melakukan pelbagai perubahan dalam Parlimen dan perundangan. – 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen