LEBIH 250,000 rumah di Perancis terputus bekalan hari ini selepas angin kuat melanda utara negara itu malam tadi, kata pengendali syarikat bekalan elektrik Enedis.
Trafik landasan keretapi juga terjejas akibat ribut Aurore, yang menyebabkan kemusnahan sejak petang semalam.
Menteri Pengangkutan Jean-Baptiste Djebbari berkata wilayah Ile-de-France sekitar Paris, Normandy, utara Perancis dan timur Lorraine yang paling teruk terjejas.
Media sosial kecoh dengan pengguna pengangkutan awam berkongsi gambar kerosakan akibat pokok tumbang.
Di barat wilayah Brittany, sejumlah besar rumah musnah akibat banjir kilat.
Kira-kira 3,000 juruteknik dikerah bagi memulihkan bekalan elektri, kata Enedis.
Ribut Aurore, yang menuju tenggara negara itu, mencetuskan paras amaran jingga – kedua tertinggi di negara ini – di kebanyakan bahagian negara mulai semalam.
Paras amaran itu mulai ditarik balik di kebanyakan tempatan, tetapi 15 bahagian di timur negara masih di paras amaran kuning. – AFP, 21 Oktober, 2021.
Komen