Mahkamah benarkan permohonan pendakwa untuk dakwa Rosmah


Ravin Palanisamy

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mendakwa Rosmah Mansor kerana memberikan kenyataan bercanggah dalam perbicaraan kes rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pihak pendakwa mendakwa Rosmah Mansor kerana didakwa memberikan kenyataan bercanggah dalam perbicaraan rasuah dengan kenyataan yang direkodkan Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan kes pengubahan wang haram membabitkannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata kenyataan Rosmah diambil di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) boleh diterima mengikut Seksyen 40 akta sama.

Bagaimanapun, Zaini berkata prosiding pendakwaan akan dijalankan di bawah Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan 1950.

Hakim bagaimanapun tidak membenarkan pendakwa menggunakan Seksyen 72 Akta Amla untuk melakukan pendakwaan kerana Rosmah tidak dibicarakan untuk kes pengubahan wang haram.

“Peruntukan untuk pendakwaan perlu dilakukan mengikut Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan 1950, dan bukan Seksyen 72 Akta Amla kerana ia berkaitan dengan perbicaraan kesalahan di bawah akta itu, di mana ia bukannya kesnya di sini,” kata Zaini.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan kerana membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Operasi Janakuasa Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai lebih RM1.25 bilion melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi dari 2016 hingga 2017.

Permohonan pihak pendakwa untuk mendakwa Rosmah itu dibuat susulan keterangannya di mahkamah tidak konsisten dengan apa yang diberitahu kepada penyiasat SPRM dalam kes Amla itu.

Jika mahkamah mendapati berlaku percanggahan, keterangannya dalam perbicaraan itu mungkin dibatalkan.

Sementara itu, Zaini juga membenarkan pendakwa menyoal balas Rosmah berkenaan karakternya. Namun, hakim mengehadkan pendakwa daripada menyentuh fakta kes kerana Rosmah hanya didakwa dengan Amla.

Hakim berkata soal balas Rosmah perlu mengecualikan soalan berkaitan fakta pertuduhan Amla, kenyataan bank dan deposit yang dikatakan dibuat Roslan Suhari ke akaunnya.

Zaini berkata alasan beliau mengehadkan soalan kerana beliau juga hakim yang mengendalikan perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan Rosmah.

Perbicaraan kes pengubahan wang haram dijadualkan bermula selepas perbicaraan kes rasuah selesai.

Rosmah, 69, berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pendakwa memohon untuk menyoal balas Rosmah berkenaan karakternya selepas peguambela menyerang bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Dr Madinah Mohamad dan Alias Ahmad, Saidi dan bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor.

Rosmah dijadualkan ke Singapura esok untuk melawat anak perempuannya yang bakal melahirkan bayi tidak lama lagi.

Perbicaraan kes rasuah ditangguhkan hingga 8 Disember. – 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen