Australia tawar ganjaran AU$1 juta kesan kanak-kanak 4 tahun hilang


Kehilangan Cleo Smith menarik perhatian seluruh rakyat Australia yang turut meluahkan kesedihan mereka di media sosial. – Gambar EPA, 21 Oktober, 2021.

PIHAK berkuasa Australia pada Khamis menawarkan AU$1 juta (AS$750,000) untuk maklumat yang membawa kepada penemuan seorang gadis berusia 4 tahun yang hilang dikhuatiri diculik dari perkhemahan terpencil hujung minggu lalu.

Cleo Smith hilang dari khemah keluarganya di Australia Barat pada awal pagi Sabtu, mencetuskan pencarian menyeluruh. 

Bagaimanapun, selepas enam hari pencarian di sekitar kawasan perkhemahan Blowholes - tempat pelancongan pesisir sekitar 1,000km utara Perth - polis berkata mereka meminta bantuan awam.

“Seseorang dalam komuniti kita tahu apa yang berlaku pada Cleo. Seseorang mempunyai maklumat yang dapat membantu,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Australia Barat, Col Blanch.

“Sekarang ada sejuta alasan mengapa kamu harus tampil ke depan.”

Superintendan Detektif Rod Wilde berkata hasil siasatan, pihaknya percaya kanak-kanak malang itu diambil dari khemahnya.

“Kami berharap Cleo masih hidup. Tetapi kami sangat bimbang akan keselamatannya,” katanya pada sidang media.

Kehilangan Cleo Smith menarik perhatian rakyat seluruh Australia dengan ramai meluahkan kesedihan terhadap keluarganya.

Ibunya, Ellie, menceritakan bagaimana beliau bangun pada pukul 6 pagi dan menemui zip khemah terbuka dan anak perempuan pertamanya itu hilang.

Dalam temu bual dengan media tempatan pada Rabu, beliau meminta warga Australia membantu agar anaknya kembali ke pangkuan keluarga. – AFP, 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen